Thursday, 19 July 2012

Etnik Bugis


LATAR BELAKANG DAN SEJARAH AWAL BUGIS

Bugis ialah komuniti yang tinggal di Sulawesi Selatan. Hampir kesemua kawasan di Sulawesi Selatan didiami oleh kaum Bugis. Kaum Bugis mempunyai kerajaan mereka yang tersendiri. Antara kerajaan awal Bugis ialah Wewang Nriwuk, Luwuk dan Tompokktikka. Kerajaan-kerajaan ini telah wujud sejak sebelum abad ke-15. Pada akhir abad ke-15, muncul beberapa kerajaan baru yang cuba merampas kedudukan kerajaan lama. Kerajaan yang baru muncul iaitu Gowa (Makassar) berjaya menguasai dan memegang tampuk pemerintahan di kawasan Sulawesi Selatan bersama-sama kerajaan sekutu mereka iaitu kerajaan Bone. 

Kejayaan mereka adalah hasil kerjasama dengan Kerajaan Bone. Mereka telah berpakat dan bersama-sama dalam menjatuhkan kerajaan lama yang berkuasa di Sulawesi Selatan.
Bagi masyarakat Bugis, merantau atau Pasompe dalam bahasa Bugis telah menjadi suatu adat atau kebiasaan. Telah berabad lamanya masyarakat Bugis merantau atau berhijrah untuk mencari penempatan dan juga kehidupan baru. Antara kawasan yang menjadi tempat penghijrahan mereka ialah Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Sumatera. Penghijrahan besar-besaran kaum ini juga berlaku setelah kerajaan Bugis iaitu Makassar dikalahkan oleh Belanda dan Belanda menguasai Sulawesi Selatan. Sistem pemerintahan Belanda seperti cukai tanah dan tanaman yang tinggi juga menjadi faktor penghijrahan orang Bugis ke tempat lain seperti Tanah Melayu.

Masyarakat Bugis juga beragama Islam. Pengislaman masyarakat Bugis ialah oleh seorang Ulama Minangkabau iaitu Sheikh Abdul Makmur. Pada pertengahan abad ke-16 berlakunya perebutan kuasa dan wilayah antara dua buah kerajaan iaitu Gowa (Makassar) dan Bone. Kekalahan kerajaan Bone telah membawa kepada campurtangan Belanda dan kejatuhan kerajaan Bugis Makassar. Ini berlaku kerana setelah kalahnya kerajaan Bone, seorang putera kerajaan Bone telah meminta bantuan dan bekerjasama dengan tentera Belanda bagi menjatuhkan kerajaan Bugis Makassar. Kekalahan kerajaan Makassar ini membuatkan ramai pembesar dan putera-putera Bugis Makassar berhijrah ke Tanah Melayu seperti di Johor dan Selangor.

Kedatangan orang Bugis secara besar-besaran dikaitkan dengan Bugis Makassar. Golongan Bugis ini telah berhijrah secara beramai-ramai dari Sulawesi Selatan ke Tanah Melayu. Penghijrahan kaum Bugis ini ialah kerana kejatuhan kerajaan yang berkuasa di Sulawesi Selatan iaitu kerajaan Bugis Makassar di tangan Bugis dari kerajaan Bone dan juga Belanda. Kebanyakan orang-orang besar Bugis Makassar ini memilih Klang dan Kuala Selangor sebagai destinasi bagi didirikan penempatan. Orang Bugis telah lama mula berhijrah ke Tanah Melayu seperti di Johor dan juga di Tanah Borneo tetapi penghijrahan dan pendudukan mereka di Klang, Selangor lebih diketahui umum kerana ianya menjadi permulaan berdirinya era Kesultanan di Selangor. Selain itu, ianya juga menjadi titik mula campur tangan Bugis di Tanah Melayu.

Penglibatan awal Orang Bugis ialah mereka membantu Raja Sulaiman iaitu pemerintah Pahang, Johor, Riau, dan Lingga mendapatkan semula Johor, Riau dan Lingga yang telah ditawan oleh Raja Kechil yang berpusat di Siak. Sebaik sahaja Raja Bugis menerima utusan dari Raja Sulaiman, angkatan tentera Bugis terus datang dengan 7 buah kapal perang menuju ke Riau. Raja Kechil telah ditumpaskan di Riau dan melarikan diri ke Lingga dalam tahun Hijrah 1134. Sebagai balasan, Raja Sulaiman telah bersetuju dengan permintaan Raja Bugis dimana  mereka mahukan supaya raja-raja Bugis dilantik sebagai Yamtuan Besar atau Yang Di-Pertuan Muda, bagi memerintah  Johor, Riau and Lingga secara bersama jika semuanya dapat ditawan.

Setelah Bugis berjaya menawan Riau, Raja Sulaiman kemudiannya pulang ke Pahang, manakala raja Bugis pula pergi ke Selangor untuk mengumpulkan bala tentera dan senjata untuk terus menyerang Raja Kechil. Semasa peninggalan tersebut, Raja Kechil telah menawan semula Riau semasa raja Bugis masih berada di Selangor. Setelah mendapat tahu Riau telah ditawan oleh Raja Kechil, Bugis terus kembali dengan 30 buah kapal perang untuk menebus semula Riau, semasa dalam perjalanan menuju ke Riau, mereka telah menawan Linggi (sebuah daerah di Negeri Sembilan) yang dikuasai oleh Raja Kechil. Setelah Raja Kechil mendapat tahu akan penawanan itu, baginda telah datang ke Linggi untuk menyerang balas.

Pihak Bugis telah berpecah dimana 20 buah dari kapal perangnya meneruskan perjalanan menuju ke Riau dan diketuai oleh 3 orang dari mereka. Raja Sulaiman telah datang dari Pahang dan turut serta memberi bantuan untuk menawan semula Riau. Dalam peperangan ini mereka telah berjaya menawan kembali Riau dimana kemudiannya Raja Sulaiman dan Bugis telah mendirikan kerajaan bersama. Setelah mengetahui penawanan Riau tersebut, Raja Kechil kembali ke Siak kerana baginda juga telah gagal menawan semula Linggi dari tangan Bugis. Hingga kini Linggi telah didiami turun-temurun oleh keturunan Bugis dan bukan orang Minangkabau.

Pada tahun 1729, Bugis sekali lagi menyerang Raja Kechil di Siak dimasa Raja Kechil ingin memindahkan alat kebesaran DiRaja Johor (sebuah meriam) ke Siak. Setelah mengambil semula kebesaran DiRaja tersebut, Raja Sulaiman kemudiannya ditabalkan sebagai Sultan Johor dengan membawa gelaran Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah yang memerintah Johor, Pahang, Riau, and Linggi. Bagi membalas jasa dan menunaikan janjinya, Raja Sulaiman telah melantik Daeng Marewah sebagai Yamtuan Muda Riau. Sultan Sulaiman juga telah memilih adiknya Tengku Mandak dikahwinkan dengan Daeng Chelak ( 1722-1760 ) yang dilantik sebagai Yamtuan Muda II Riau pada tahun 1730an. Kemudian anak Daeng Parani, Daeng Kemboja dilantik menjadi Yamtuan Muda III Riau (yang juga memerintah Linggi di Negeri Sembilan).
Setelah berjaya membantu Raja Sulaiman, Daeng Chelak iaitu Raja Bugis telah kembali ke Kuala Selangor. Penduduk Kuala Selangor telah meminta beliau untuk terus menetap disitu dan menjadi sultan mereka. Daeng Chelak telah menolak kerana ingin kembali ke Riau dan memerintah Riau yang telah dikurniakan oleh Raja Sulaiman. Namun begitu, beliau telah menamakan salah seorang dari puteranya iaitu Raja Lumu menjadi pemerintah di Kuala Selangor. Kedatangan Raja Lumu ke Kuala Selangor menandakan bermulanya era pemerintahan Kesultanan Selangor yang berdaulat sehingga ke hari ini.


BAHASA DAN TULISAN
Etnik Bugis juga sama seperti etnik lain yang mempunyai bahasa yang tersendiri yang dikenali sebagi bahasa Bugis. Bahasa Bugis ini digunakan oleh masyarakat Bugis untuk berkomunikasi antara satu sama lain. Bahasa ini asalnya digunakan oleh etnik Bugis di Sulawesi Selatan dan tersebar di negeri-negeri seperti sebahagian negeri Maros, Pangkep, Barru, Kota Pare-Pare, Pinrang dan beberapa negeri lain lagi. Etnik Bugis juga mempunyai dialek tersendiri yang dikenali sebagai sebagai ‘Bahasa Ugi’. Malah tulisan huruf etnik ini dikenali sebagai ‘Aksara’ Lontara Bugis. Lontara adalah aksara tradisional masyarakat Bugis. Lontara ini tidak dipengaruhi oleh budaya lain. Aksara lontara Bugis ini digunakan dalam penulisan urusan pemerintahan dan kemasyarakatan. Aksara lontara Bugis ini berjumlah 23 huruf yang semuanya disusun berdasarkan aturan tersendiri. Bentuk tulisan adalah seperti dalah jadual berikut :

Jadual 1: aksara lontara Bugis

PAKAIAN TRADISIONAL
Bugis terkenal dengan kain sarung sebagai busana kaum wanita yang dipakai dengan baju kebaya labuh. Manakala kaum lelaki pula bergaya dengan baju Sikap sut padanan lima dilengkapi tengkolok, baju, seluar, bengkung dan kain samping tenunan Bugis bergaris atau bertelepuk perada emas warisan keluarga bangsawan Bugis.

Gambar 1: Pakaian tradisional lelaki dan perempuan masyarakat Bugis
Selain itu, ketika adat perkahwinan, pengantin mengenakan pakaian tradisi iaitu baju Bodo, pakaian yang berasal dari daerah Bugis. Baju Bodo berwarna hijau dipakai oleh gadis di dalam lingkungan istana dan dipakai dengan kain sarung sutera atau songket. Baju Bodo ini dibuat dari kain organza dan dipadankan dengan kain tenun corak tapak catur benang emas.

Gambar 2: Pengantin mengenakan baju Bodo dalam adat perkahwinan
Selain itu, pakaian yang digunakan di dalam tarian Poja juga dinamakan baju Bodo atau baju Tokko yang bermaksud baju tiada lengan. Bajunya dihasilkan dari kain organza dan mempunyai anak baju di dalamnya. Baju ini mempunyai lengan pendek dan kaki baju labuh sehingga ke paras paha. Terdapat juga baju Bodo yang dihiasi dengan manik, jemeki dan renda mengikut kreativiti kumpulan. Pada lengan baju diikat kain yang dipanggil pengikat lengan. Pengikat lengan ini bertujuan untuk mengukuhkan lengan baju seupaya lebih kemas dan terserlah kekemasan baju tersebut. Pengikat lengan ini juga dihiasi dengan manik, jemeki dan renda.
Menurut adat Bugis, setiap warna baju bodo yang dipakai oleh wanita melambangkan usia ataupun darjat pemakainya.
Warna Makna
Jingga Dipakai oleh kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun
Jingga dan merah Digunakan oleh gadis berumur 10-14 tahun.
Merah Bagi wanita berumur 17-25 tahun.
Putih Digunakan oleh para inang dan dukun.
Hijau Khas untuk wanita berketurunan bangsawan
Ungu Dipakai oleh para janda.


Selain itu, terdapat juga pakaian Bugis yang mengikut daerah tertentu di mana pakaian yang digunakan masih digelar baju Bodo. Baju ini diperbuat dari kain satin dan dihiasi kain sulaman berwarna perak. Baju ini mempunyai lengan pendek dan labuh sehingga ke paras paha. Jemeki dijahit secara berselang-seli di keseluruhan baju untuk menampakkan lagi kemewahan baju tersebut. Kain yang digunakan sebagai kain sarong diperbuat dari kain satin berwarna perak dan dijahit bersama kain corak Bugis membentuk kipas di bahagian belakang kain.




KESENIAN

Seni Senjata
Dalam seni senjata pula, senjata yang menjadi kebanggaan masyarakat Bugis adalah badik atau nama lainnya adalah kawali. Menurut masyarakat Bugis, setiap jenis badik mempunyai kuasa sakti. Kuasa ini dapat mempengaruhi keadaan dan kehidupan pemiliknya. Terdapat juga kepercayaan bahawa badik ini mampu mewujudkan ketenangan, kedamaian, kesejahteraan dan kemakmuran ataupun kemelaratan, kemiskinan dan penderitaan bagi penyimpannya. Sejak ratusan tahun dahulu, badik bukan sahaja sebagai senjata dalam mempertahankan diri atau berburu tetapi digunakan juga sebagai lambang identiti etnik Bugis.
Badik mempunyai banyak jenis antaranya adalah badik Bugis Makassar, badik Bugis luwu, badik caringin tilu dan kawali lade’. Setiap jenis badik ini mempunyai simbol dan maksud yang tersendiri misalnya badik kawali lade’ dipercayai dapat mendatangkan rezeki melimpah bagi sesiapa yang menyimpannya. Selain itu, badik juga merupakan satu penghormatan dan dipandang tinggi bagi pemiliknya terutamanya lelaki. Seperti yang diperkatakan oleh masyarakat Bugis Makassar “ bukan seorang Bugis jika tidak memiliki badik”. Maka dapat disimpulkan disini bahawa badik merupakan satu senjata yang menjadi kebanggaan dan penghormatan masyarakat Bugis.



Gambar 3 : badik yang berusia lebih daripada 100 tahun
Seni Alat Muzik
Etnik Bugis turut mempunyai peralatan alat muzik tradisional yang tersendiri dan dipersembahkan dalam majlis tertentu. Antara peralatan alat muzik tradisional etnik Bugis adalah :

Kacapi
Menurut sejarah kacapi ini telah dihasilkan oleh seorang pelaut. Kacapi ini terbentuk menyerupai perahu yang memiliki dua dawai. Idea penghasilan kacapi ini ialah tali layar perahu. Kacapi biasanya dipersembahkan dalam majlis jemputan para tetamu, majlis perkahwinan, majlis hajat dan sebagai hiburan dalam majlis ulang tahun.


Sinrili
Sinrili merupakan alat muzik masyarakat bugis yang menyerupai biola. Alat muzik ini dimainkan dalam keadaan duduk dan alat ini diletakkan di hadapan pemain alat muzik tersebut.

Gendang
Gendang merupakan alat muzik yang menyerupai rebana yang memiliki dua permukaan yang rata, bulat dan panjang.

Seruling
Alat muzik seruling ini terbahagi kepada tiga jenis iaitu :
i. Seruling panjang (seruling lampe) : memiliki lima lubang nada.
ii. Seruling calabai (seruling ponco) : sering dimainkan bersama biola, kacapi
     dan penyanyi.
iii. Seruling dupa samping: sering digunakan dalam majlis perbarisan dan
     jemputan tetamu.


Seni Tari
Tarian Poja merupakan salah satu tarian Bugis yang sangat popular terutamanya di negeri Selangor. Namun begitu, sejarah bermulanya tarian ini tidak diketahui dengan tepat kerana ketiadaan sumber bertulis mengenai tarian ini, hanya sekadar penyampaian lisan semata-mata. Menurut sumber lisan, tarian Poja ini bermula pada zaman Sunan Gunung Djati, untuk menyelidiki kekuatan musuh yang melawan dengan mengirimkan kumpulan kesenian poja atau mata-mata gelap untuk menyelidiki Kerajaan Pakuan Padjajaran. Ternyata tarian kesenian tersebut berjaya memberikan maklumat kepada Sunan Gunung Djati.
Selain itu, menurut versi sumber lisan yang lain, Poja berasal dari perkataan Bugis yang bermaksud puji-pujian. Pada masa dahulu, tarian Poja merupakan sebuah tarian di istana yang dipersembahkan semasa sultan sedang bersantai atau berehat dengan tujuan bagi memuji-muji baginda. Tarian ini juga dipersembahkan di dalam istana untuk meraikan sesebuah keramaian atau tetamu yang hadir untuk bertemu sultan. Oleh itu, mutu dan nilai kesenian tarian ini sentiasa dijaga oleh kerabat diraja. Kini, tarian ini bukan lagi sebuah tarian istana namun sudah boleh dipersembahkan di mana sahaja dan dipertontonkan oleh sesiapa juga. Tarian ini menjadi tarian mengalu-alukan kedatangan para tetamu yang hadir ke majlis tersebut.
Dahulunya, penari-penari tarian ini terdiri dalam kalangan perempuan sahaja. Manakala lelaki bermain alat muzik. Apabila tarian ini mula dipersembahkan kepada masyarakat umum, maka penari-penari tarian juga terdiri daripada kaum lelaki. Jangka masa tarian ini pada asalnya adalah empat hingga lima minit. Setelah mengalami perubahan, jangka masa bertukar menjadi tiga minit sahaja.

Seni Permainan Rakyat

Permainan rakyat masyarakat Bugis ini sering dimainkan selesai musim menuai. Hal ini kerana musim menuai hanya dilakukan sekali dalam setahun. Bagi mengisi masa lapang yang panjang, maka wujudlah pelbagai permainan rakyat. Antaranya adalah Mallogo. Mallogo adalah permainan yang menggunakan Logo (berbentuk cangkul) sebagai alat utama dalam permainan ini. Bentuk Logo ini seperti cangkul melambangkan nilai budaya Bugis yang bersandarkan kepada kehidupan Agraria. Logo diperbuat daripada tempurung kelapa yang berkualiti baik dan berbentuk segitiga serta hujungnya ditumpulkan.

Seterusnya adalah Mappadendang yang berasal daripada perkataan dendang yang merujuk kepada irama atau alunan bunyi. Dahulu, permainan ini dimainkan pada waktu malam sewaktu bulan purnama. Kebiasaannya Mappadendang dimainkan ketika upacara tertentu seperti perkahwinan dan musim menuai. Permainan ini dipersembahkan oleh gadis-gadis dan pemuda-pemuda dalam kalangan masyarakat biasa. Asalnya permainan ini daripada bunyi tumbukan alu ke lesung yang silih berganti sewaktu menumbuk padi. Kemudian permainan ini dikembangkan lagi dengan alunan irama yang lebih teratur dan variasi bunyi dan gerakan serta diiringi dengan tarian.

Mattoajang pula adalah permainan yang berasal daripada perkataan tojang yang membawa maksud ayunan. Permainan ini kebiasaanya dimainkan bagi memeriahkan majlis tertentu seperti pesta menuai, majlis perkahwinan dan kelahiran bayi. Dalam masyarakat Bugis tradisional, permainan ini dimainkan oleh golongan bangsawan, raja-raja atau ketua adat. Dalam permainan ini tiang Mattoajang diperbuat daripada dua batang pokok kelapa dan tingginya lebih kurang 10 meter. Tali ayunan diperbuat daripada kulit kerbau yang dililit dan panjangnya hendaklah kurang daripada tiang ayunan. Tempat duduk Mattoajang atau disebut sebagai Tudangeng diperbuat daripada kayu. Mattoajang dimainkan sekurang-kurangnya seramai tiga orang. Seorang akan berayun dan dua orang akan menarik dan mengayunkan ke depan dan ke belakang silih berganti. Pengayunan ini disebut Padere. Permainan-permainan ini menjadi salah satu hiburan masyarakat Bugis bagi mengeratkan hubungan sesama mereka.

MAKANAN TRADISIONAL
Coto makassar adalah makanan tradisional masyarakat Bugis Makassar, Sulawesi Selatan. Makanan ini diperbuat daripada usus sapi yang direbus dalam satu tempoh yang lama. Kemudian air rebusan usus ini dicampurkan dengan daging sapi dan dihiris halus serta dimasak bersama rempah.  Coto makassar biasanya dimakan bersama ketupat.
Selain itu, salah satu daripada makanan Bugis adalah burasak yang juga merupakan salah satu hidangan wajib bagi masyarakat Bugis ketika hari raya. Burasak ini menggunakan beras wangi yang dimasak dengan santan seperti nasi lemak kosong. Kemudian apabila nasi masak, balutkan nasi dengan daun pisang dan rebus selama tiga hingga empat jam. Setelah itu, hidangan ini selalunya dimakan bersama dengan hidangan ayam masak lengkuas.


Gambar 8: Burasak yang telah dimasak
Terdapat banyak lagi makanan tradisional Bugis. Setiap jenis hidangan merupakan simbol dalam kehidupan masyarakat Bugis terutamanya dalam kehidupan berumah tangga. Dalam perkahwinan masyarakat Bugis yang terdiri daripada beberapa majlis, sekurang-kurangnya 24 jenis makanan tradisional yang biasanya dipersiapkan oleh pihak keluarga lelaki.

Makanan tersebut ialah kawusallo, manjarella, lulung kasoro, nennuk-nennuk, biji nangka, paloleng, leppang jampu, beppa tello, puteri sala, katiri sai, tolobu, bingka, babingka, palita, lapisi, sanggarak, poso, palopo ipaesa, sarikaya, barongko, sanggarak sitombolok, docok cangkuli, sari mokka, pasok. Kesemuanya dikenali sebagai kuih Bugis dam mempunyai simbol-simbol tersendiri.

Selain kuih Bugis, terdapat pula buah-buahan yang dihidangkan ketika majlis ikatan perkahwinan. Antaranya kelapa bertandan, pisang bertandan, tebu, nanas, jambu dan buah lontar. Buah-buahan ini diisi dalam lawasuji (tempat penyimpanan barang yang diperbuat dari anyaman buluh dengan bentuk segi empat).
Ketika malam berinai, makanan yang dihidangkan adalah nasi putih yang lauk pauknya terdiri daripada kari, nanu manuk (ayam masak), jenno manuk (ayam goreng), nasu bale (ikan masak), jenno bale (ikan goreng), nasu ladang (lombok masak), nasu bue (kacang hijau masak), salonde (masakan tauge yang tidak berkuah), tempa tempa (lauk-pauk berbentuk segi tiga yang diperbuat daripada kelapa parut) dan berbagai-bagai jenis masakan lagi.

Selain itu, antara makanan tradisional Bugis adalah Sokko patanrupa, yang dipersembahkan sebagai sajian kepada dewata ketika majlis berinai. Onde-onde atau buah Melaka merupakan makanan Bugis dan dihidangkan dalam majlis perkahwinan sebagai lambang agar hidup mempelai akan senang.


ADAT RESAM

Adat Bermasyarakat
Sistem norma dan susunan adat etnik Bugis keseluruhannya disebut panngadderreng. Sistem adat keramat masyarakat Bugis terdiri daripada unsur iaitu:
1. Ade’
Ade’ adalah sebahagian daripada panggaderreng yang secara khususnya terdiri daripada :
a. Ade’ Akkalabinengeng merupakan norma mengenai hal-hal ehwal  
perkahwinan serta hubungan saudara dan wujud sebagai kaedah-kaedah perkahwinan, kaedah-kaedah keturunan, susunan mengenai hak dan kewajipan keluarga dalam rumahtangga, etika dalam hal rumah tangga dan sopan santun dalam pergaulan antara saudara.
b. Ade’ Tana merupakan norma mengenai hal ehwal negara dan pemerintahan negara dan wujudnya undang-undang negara, undang-undang antara negara serta etika dan pembinaan insan politik.
2. Undang-Undang
Undang-undang adalah unsur yang mengenai semua aktiviti dan konsep-konsep yang berkaitan dengan keadilan, menentukan prosedur serta hak dan kewajipan seseorang individu semasa di dakwa atau mendakwa sesuatu kes.

3. Wari’
4. Sara’
5. Rapang


Adat Upacara Perkahwinan
Keunikan budaya suku kaum Bugis dipaparkan dalam tradisi majlis perkahwinan. Sebelum majlis perkahwinan, masyarakat Melayu yang beragama Islam akan mengadakan upacara merisik dan meminang. Walau bagaimanapun, bagi kaum Bugis, tiada adat pertunangan. Bagi masyarakat ini, yang paling penting adalah upacara pernikahan. Ibu bapa kaum Bugis beranggapan bahawa pertunangan boleh menimbulkan syak dan fitnah dalam kalangan masyarakat kerana tempoh pertunangan yang lama.

Namun, terdapat majlis yang menyerupai adat bertunang tetapi tidak dianggap upacara bertunang, yang digelar “men’drek doik” yang membawa maksud “naik duit”. Dalam majlis ini, pihak lelaki akan membawa wang hantaran yang telah ditetapkan semasa meminang. Oleh itu, semasa dulang hantaran diberikan ketika majlis pernikahan, dulang itu hanya simbolik sahaja kerana wang hantaran telah diserahkan. Semasa majlis ini berlangsung, pihak pengantin lelaki akan menyarungkan cincin sebagai tanda ikatan sebelum tiba majlis pernikahan yang berlangsung selepas tiga hingga tujuh hari setelah majlis “naik duit”.

Seminggu sebelum majlis persandingan, dua orang wanita dipertanggungjawabkan oleh pihak pengantin perempuan untuk menjemput tetamu. Wanita ini terdiri daripada mereka yang telah berumah tangga. Wanita yang belum berkahwin tidak manis berkunjung ke rumah untuk menjemput tetamu. Bagi kaum Bugis, wanita yang belum berkahwin tidak dibenarkan menjemput tetamu kerana dikhuatiri lambat menerima jodoh.
Kedua-dua wanita ini digelar pattampa yang bermaksuud pemanggil tetamu. Pattampa akan mattampa, iaitu berkunjung dari rumah ke rumah. Pattampa akan membawa dulang yang dibalut dengan kain berwarna dan bermanik. Dulang diisi dengan dua bungkus rokok pelbagai jenama beserta mancis. Rokok, suatu ketika dahulu merupakan lambang prestij sesebuah keluarga. Hanya golongan yang berkemampuan sahaja mampu memilikinya.


Tetamu yang dijemput akan membuka dulang dan mengambil sebatang rokok lalu membakarnya. Adat ini penting kerana bagi tetamu yang mempunyai anak dara, kerana dengan cara ini diharapkan anak mereka pula akan menemui jodoh. Adat mattampa ini berbeza dengan adat kaum lain yang menggunakan kad undangan.

Malam berinai atau mappacci cukup meriah, kerana pada malam tersebut pelbagai acara berlangsung. Malam berinai akan dimulakan dengan majlis khatam al-Quran, disusuli dengan majlis berzanji. Setelah selesai menginai pengantin perempuan, rombongan gadis muda yang memakai inai kepada pengantin perempuan akan bersiap untuk berkunjung ke rumah mempelai lelaki. Tujuannya untuk menghantar lebihan inai daripada bakal isteri kepada pengantin lelaki. Adat ini merupakan satu usaha agar kedua-dua mempelai hidup harmoni.

Sebelum pengantin perempuan memakai inai, adat memakai bedak dilakukan dengan meriah. Majlis ini dianggap penting untuk melicinkan kulit dan menambahkan seri wajah pengantin perempuan. Bedak tersebut digelar bedak ke’cek yang bermaksud sejuk. Bedak ini dibuat sendiri dengan menggunakan beras dan diadun dengan bahan lain termasuk kunyit dan ditumbuk dengan lesung. Lebihan bedak pengantin perempuan akan disapu pada wanita yang belum berkahwin.

Kemeriahan malam berinai turut disertakan dengan permainan domino yang dipertandingkan kepada kaum lelaki. Cabutan undi dilakukan untuk membentuk kumpulan yang terdiri daripada empat pemain. Dalam permainan ini, golongan muda tua beradu kemahiran, dan berkumpul dalam suasana yang muhibbah. Sementara kaum lelaki bermain domino, kaum wanita akan menyediakan jamuan seperti kopi dan kuih-muih.
Selain itu, dalam masyarakat Bugis, mas kahwin yang akan diberikan kepada pengantin perempuan tidak dihias dengan bunga dan dipegang begitu sahaja. Pengantin lelaki perlu menyediakan sompa terlebih dahulu. Sompa dianggap menyimpan harga diri bakal isteri. Sompa merupakan kain putih yang diisi dengan wang mas kahwin. Di dalam kain putih tersebut terdapat juga beras, buah pala, kayu manis dan jarum. Makna yang tersirat disebalik sompa sangat mendalam bagi kaum ini.

Justeru, sompa harus disimpan di tempat yang paling berharga dan selamat. Barang-barang yang disertakan dengan mas kahwin melambangkan cabaran dan dugaan yang perlu ditempuhi oleh pasangan pengantin semasa hidup bersama. Cabaran digambarkan dengan meletakkan jarum di dalam beras, sedangkan beras itu pula melambangkan keperluan asas dalam kehidupan. Perisa dan keharmonia rumah tangga digambarkan dengan buah pala dan kayu manis termasuklah rezeki yang bakal diterima.

Saudara lelaki pengantin perlu bersiap sedia membawa sompa. Amanah ini bukan satu tanggungjawab yang ringan kerana sompa dikatakan lambang panjang atau pendek jodoh seseorang. Sompa tidak boleh jatuh daripada kendungan. Jika jatuh, masyarakat Bugis percaya bahawa itulah peranda yang tidak baik.
Selain sompa, bakul sugi perlu disediakan sebelum menjadi raja sehari. Bakul ini diisi dengan buah-buahan tempatan seperti nangka, pisang, betik dan lain-lain. buah-buahan ini melambangkan kemanisan dalam berumah tangga. Sompa dan bakul sugi akan diserahkan kepada pihak perempuan setibanya rombongan lelaki di rumah perempuan. Buah-buahan ini tidak boleh dihidangkan kepada semua orang tetapi hanya untuk saudara perempuan yang belum berkahwin agar mereka juga menerima jodoh.

Majlis persandingan suku kaum ini berlangsung sama seperti umat Islam yang lain. sebelum melafazkan akad nikah, pengantin lelaki akan duduk di atas kain pelekat yang disusun sebanyak sembilan atau 12 susunan. Kain ini dilipat dengan membawa kesemua hujung kain ke tengah. Adat ini bagi menghormati pengantin lelaki yang akan bernikah. Susunan kain ini menggambarkan pangkat dan darjat seseorang.

Di samping itu, anak-anak gadis yang menyerikan majlis memakai baju bodo. Pakaian ini menjadi begitu bernilai kerana baju bodo diperagakan oleh golongan istana pada zaman Kesultanan Bugis. Hidangan utama dalam majlis perkahwinan ialah beppa richa yang bermaksud kuih basah. Apabila tetamu datang, mereka akan dihidangkan dengan kuih basah. Selepas itu, barulah tetamu akan menikmati hidangan nasi putih dan pelbagai jenis lauk. Kuih muih disediakan oleh jennang, seorang tukang masak.

Majlis persandingan di rumah pengantin perempuan akan berlangsung sehingga larut malam. Ada pasangan pengantin yang terus memperagakan baju bodo pelbagai jenis dan warna sehingga malam. Pada malam ini juga pemenang permainan domino akan diumumkan oleh mempelai.

Apabila selesai majlis di rumah perempuan, pada keesokannya persandingan akan terus berlangsung di rumah lelaki. Kehadiran pengantin perempuan di rumah pasangannya digelar merolla atau berkunjung ke rumah mentua. Adat mamettoa atau mengenali keluarga mentua dilakukan di rumah pihak lelaki. Semasa adat ini, kedua-dua mempelai duduk di satu penjuru ruang tamu.

Pengantin perempuan akan diperkenalkan kepada seluruh ahli keluarga suaminya. Seorang demi seorang akan bersalaman dan berpelukan dengan kedua-dua mempelai yang didahului dengan ibu bapa lelaki. Lazimnya, ibu dan saudara perempuan pihak lelaki sahaja yang akan memberikan hadiah kepada orang baharu dalam keluarga mereka. Ibu mentua akan menyarungkan cincin atau rantai emas. Bagi mereka, semakin tinggi nilai pemberian maka semakin tinggi penghargaan yang diberikan kepada pengantin perempuan.
Adat Upacara Kelahiran

Sejak kecil lagi proses ajaran agama Islam telah diterapkan sejak anak baru lahir lagi. Azan akan berkumandang di telinga kanan bagi anak lelaki dan iqamat bagi anak perempuan. Azan dan iqamat ini akan dilakukan pada hari ketiga waktu maghrib bagi tujuan memperdengarkan kalimah Islam pada awal kelahirannya di dunia. Tembuni atau uri bayi akan ditanam mengikut tatacara adat Bugis dengan memasukkan tembuni itu ke dalam tin yang diletakkan bersama-sama tulang ikan, buku, pensil dan jarum.

Benda-benda ini mempunyai maksud yang tersendiri iaitu tulang ikan bertujuan agar si anak tidak tercekik apabila makan ikan, buku dan pensil agar si anak bijak belajar manakala jarum bertujuan agar si anak mempunyai fikiran yang tajam. Di samping itru, cebisan atau al-Quran kecil turut dimasukkan bersama tembuni ke dalam tin supaya si anak lancar mengaji Al-Quran. Kemudian lubang akan digali dan ditutup dengan meletakkan kelapa bulat yang dipasang dengan lilin yang menyala agar membolehkan fikiran si anak sentiasa terang dan tajam.

 Adat yang lazim dijalankan dalam upacara kelahiran adalah caru-caru (ma’pa’katan) yang merupakan upacara keselamatan sebagai tanda selamat datang kepada bayi yang telah selamat dilahirkan ke dunia dan menjadi anggota baru dalam sesebuah keluarga. Caru-caru akan diadakan seminggu stelah selesai kelahiran iaitu setelah tali pusatnya jatuh. Dalam melaksanakan adat ini, lima ekor ayam akan disembelih iaitu tiga ayam jantan dan dua ayam betina. Lima ekor ayat tersebut mewakili keluarga si bayi yang terdiri daripada ayah, ibu dan adik-beradiknya yang dipercayai tanah, air dan angin. Jika tidak berkemampuan untuk menyembelih lima ekor memadai sebanyak tiga ekor sahaja. Selain itu juga, Tompolo merupakan upacara pemberian nama serta pemberitahuan kepada saudara-mara yang biasanya diadakan pada hari ke-40 selepas kelahiran.
Aqiqah pula merupakan adalah tradisi keagamaan yang berasal daripada agama Islam dengan menyembelih kambing bagi bayi yang baru dilahirkan. Upacara aqiqah dilakukan dengan menggunting beberapa helai rambut bayi yang dilakukan oleh imam atau guru kampung. Simbol kelapa diambil daripada kepercayaan asli Bugis dan makanan manis adalah saranan Islam. Gunting hendaklah dibasahkan dengan air kelapa. Kelapa melambangkan kuat dan serba guna. Maka simbol ini berkait rapat denga harapan agar bayi kelak kuat dan berguna. Kemudian makanan manis akan dimasukkan ke dalam mulut bayi dengan harapan kelak ucapan yang keluar dari mulut si anak semanis makanan yang pertama kali dirasainya.

Kambing yang disembelih dalam majlis aqiqah merupakan sebahagian daripada tuntutan yang mempercayai haiwan perlu disembelih sekurang-kurangnya sekali seumur hidup kerana kelak haiwan itu akan digunakan sebagai kenderaan pada hari kiamat mengikut kepercayaan asli Bugis. Dalam majlis aqiqah atau maccera ini juga diadakan adat mappenrek tojang atau naik buai iaitu membuaikan anak. Buaian digantung bersama setandan pisang dan 40 biji lepek-lepek atau bilunda (pulut yang dibungkus dengan daun kelapa muda).

Apabila kali pertama bayi dibawa berjalan atau kali pertama turun dari rumah, bayi akan disertakan bersama bekalan nasi putih atau nasi pulut dan telur rebus. Adat ini sebagai simbolik bahaya bayi tersebut sentiasa membawa rezeki walaupun bayi tidak boleh memakan makanan tersebut. Bayi tidak boleh keluar rumah ketika hampir maghrib atau waktu malam atau dalam bahasa Bugisnya kubuallo kerana dipercayai syaitan sedang berkeliaran ketika itu. Adalah menjadi kebiasaan apabila tuan rumah diziarahi oleh bayi pada pertama kalinya akan memberikan cenderamata kepada bayi atau disebut dalam bahasa Bugis Pabbarekkeng sumangek atau penguat semangat.

 Pemakaian tangkal yang berwarna kuning atau hitam bagi kanak-kanak yang baru lahir sehingga umurnya tiga tahun adalah untuk mengelakkan gangguan daripada makhluk halus. Kebiasaanya tangkal tersebut akan diisi dengan cebisan kertas al-Quran atau rempah yang telah dijampi. Kadang kala duit syiling yang diikat dengan benang atau tali untuk dijadikan tangkal dan dipasang di bahagian pinggang si bayi.

Adat Upacara Kematian

Kematian seseorang individu biasanya disertai dengan pelbagai bentuk ritual untuk menghantar roh si mati dalam kehidupan seterusnya. Tetamu yang datang menziarahi keluarga si mati akan membawa sidakka (sumbangan kepada keluarga si mati) seperti wang, beras atau kain. Upacara ini akan dijalankan sekiranya semua anggota keluarga terdekat hadir. Upacara kematian ini dilaksanakan mengikut tatacara Islam di samping beberapa unsur kepercayaan asli yang diwarisi daripada orang tua.

Pengurusan mayat dimulakan dengan memandikan mayat yang biasanya dimandikan oleh orang-orang tertentu yang sememangnya biasa memandikan mayat atau daripada anggota keluarga sendiri. Terdapat beberapa bahagian yang dilakukan ketika memandikan mayat iaitu:
i. Pajenekang : menyiram air mandian mayat dan diiringi bacaan doa.
ii. Pasucina : menggosok bahagian tubuh mayat
iii. Pabbisina : membersihkan alat kelamin si mayat
iv. Pamaralui : menyiram air mandi terakhir dan mewudukkan mayat.

Setelah selesai dimandikan, mayat akan diroko (dikafan) oleh anggota keluarganya yang dibalut dengan kain putih. Kemudian imam dan beberapa ahli keluarga dan rakan taulan yang lain akan menjalankan pengimangan iaitu menyembahyangkan mayat menurut tatcara agama Islam. Sebelum mayat dikebumikan saudara mara dan jiran tetangga akan mempersiapkan pabuleka (usungan mayat yang dibuat daripada bambu atau pohon pinang). Sebelum pabuleka digunakan ia akan dilumur dengan darah ayam atau haiwan lain yang disembelih untuk dijadikan kanre pasuru (nasi penguburan). Kanre pasuru hanya boleh dimakan oleh anggota keluarga dari si mayat setelah dibacakan doa dengan pembakaran dupa.

Sebelum pabuleka mayat diusung ke tanah perkuburan, pabuleka akan dilangkah oleh cucu atau anak kecil si mati agar rohnya tidak menganggu anak tadi ataupun tidak mengalami kambo-kamboan. Malah sebelum itu juga, sewaktu mula diturunkan dari rumahnya, pabuleka diangkat dan anak-anak si mati diminta lalu di bahagian bawah pabuleka tersebut. Tujuan ini adalah untuk mengelakkan anak-anak rindu dan terkena badi kematian si mati. Apabila upacara perkebumian dimulakan, bacaan doa dan beberapa ayat al-Quran serta al-Fatihah. Kemudian imam kampung akan membacakan Talqin denga tujuan agar mayat dapat menjawab pertanyaan malaikat di alam barzakh. Imam kampung tersebut akan diberikan tikar dan pakaian si mati sebagai imbalan atau ganjaran atas jasa baktinya.

Ada juga sesetengah pendapat menyatakan pemberian tersebut bertujuan agar arwah atau roh si mati tidak datang kembali menuntut barang miliknya yang ditinggalkan. Setelah selesai dikebumikan, di atas kubur akan diletakkan kelapa dan payung kerana dipercayai arwah si mati tetap berkeliaran. Kelapa dan airnya yang diletakkan di atas kubur bertujuan untuk dijadikan minuman kepada roh si mati dan payung pula bertujuan untuk melindungi roh di samping sebagai simbol keturunan. Sekiranya mayat tersebut adalah bayi atau anak kecil, botol susu akan diletakkan di atas kubur kerana dipercayai hanya jasad si bayi sahaja yang mati manakala roh si bayi tetap wujud dan masih memerlukan susu.

Upacara kematian kemudiannya diikuti dengan kenduri arwah yang diadakan pada malam ketiga, ketujuh, ke-40 dan ke-100. Kebiasaanya ayam akan disembelih satu atau dua ekor (ayam kampung yang dianggap sebagai penyambung nyawa pada malam ketiga selepas kematian). Pada malam ketujuh atau ke-14 seekor kambing ataupun ayam akan disembelih. Pada malam ke-40, lembu akan disembelih bagi keluarga yang berkemampuan. Akhir sekali, terdapat juga pantang larang atau pemmali yang harus dipatuhi. Contohnya. Ketika mayat diturunkan dari rumah semua yang melihatnya tidak boleh menyentuh dinding. ( Siti Ruqayah haji Tibek 1940:40 ).

Adat Upacara Naik Rumah Baru
Adat naik rumah baru atau memasuki rumah baru adalah bertujuan memohon kebenaran untuk menggantikan atau mengusir roh-roh atau makhluk halus yang selama ini dipercayai menghuni rumah tersebut. Individu yang akan mengetuai upacara ritual rumah ini adalah panrita bala yang biasanya mengetahui lokasi yang sesuai untuk membina rumah, kayu-kayan yang tepat untuk menjadikan tiang serta doa dan jampi-jampi yang harus dibaca.

Jika seseorang membina rumah tanpa mendapat bimbingan daripada panrita bala, orang tersebut dipercayai akan mendapat penyakit, meninggal dunia atau ditimpa malapetaka. Gangguan ini tidak semestinya disebabkan oleh bekas roh yang pernah menghuni rumah tersebut tetapi mungkin disebabkan dari pemasangan tiang atau kayu-kayan yang tidak sesuai dan tepat.

Panrita bala adalah individu yang mengetahui cara-cara mengusir makhluk halus dan lokasi makhluk itu bersarang. Kadang-kadang pokok yang ditebang untuk tujuan pembinaan rumah tersebut merupakan tempat kediaman roh-roh jahat. Bagi mengelakkan gangguan daripada makhluk ini, sebelum tiang dipasang, roh-roh itu haruslah diusir terlebih dahulu dengan cara memberikan sajian berupa beras, gula, kelapa, lilin, alannota (dibentuk daripada lipatan daun sirih sebanyak sembilan keping, tiga ulas pinang dan secubit kapur) yang diletakkan dekat pocci bola.

Disamping itu, cebisan ayat-ayat al-Quran akan ditanam di bawah tiang pocci bola yang disertai dengan pembacaan doa dan jampi serapah panrita bala. Sajian tadi ditambah dengan pisang dan buah-buahan manis yang digantung di atas tiang pocci bola. Pocci bola dipercayai tempat roh berkumpul seperti roh dewa Sri ( Sangyang Sri) iaitu dewa yang memelihara sawah dan padi (temubual dengan Musta Sirat 20 Jun 2003 ; Nurhayati Djamas 1985:311). Ketika mendirikan rumah, seseorang individu perlu mengambil berat cara pembuatan lobang pasa’ atau tempat penyambungan kayu. Kesalahan pemasangan akan menyebabkan penghuni rumah itu meninggal dunia.

Selain itu, setelah tiang siap dipasang, setiap tiang rumah akan dipercik air appasili dengan pembacaan doa-doa pengusir roh. Appasilli bermaksud pembersihan yang bertujuan untuk mengusir roh-roh jahat dan makhluk halus yang akan menganggu kehidupan manusia sama ada gangguan tersebut berupa penyakit atau malapetaka. Ciri ritual appasilli dapat dilihat melalui simbol air yang dicampur dengan daun teh, cempaka atau daun sirih yang kemudiaannya dipercikkan pada setiap bahagian penjuru rumah.
Selesai upacara ritual tersebut, majlis jamuan akan diadakan dengan mengundang jiran dan sanak saudara terdekat. Biasanya ritual ini dilakukan pada waktu pagi sebelum terbit matahari. Majlis ini merupakan tanda kesyukuran dan pemberitahuan kepada saudara mara tentang perpindahan itu di samping upacara songka bola yang bertujuan agar penghuni baru kelak terhindar daripada sebarang gangguan. Jika setelah rumah baru itu didiami dan penghuninya masih mendapat gangguan maka upacara songka bola perlu diadakan semula.

RUMAH TRADISIONAL

Rumah tradisional kaum Bugis berbentuk panggung yang terdiri daripada 3 bahagian iaitu tingkat atas, tengah, dan bawah. Tingkat atas digunakan untuk menyimpan padi dan benda-benda pusaka. Hal ini kerana bahagian atas rumah ini jarang digunakan oleh penghuni. Oleh itu, barang-barang berharga boleh disimpan di bahagian ini agar terjamin keselamatannya.
Di samping itu, bahagian tengah rumah digunakan sebagai tempat tinggal penghuni. Tingkat ini terbahagi kepada ruang-ruang untuk menerima tetamu, tempat tidur, makan dan dapur. Ruang ini turut digunakan untuk aktiviti santai dan rehat keluarga.

Gambar 9: menunjukkan rumah tradisional kaum Bugis
Bahagian ketiga ialah tingkat dasar yang berada di tingkat bawah rumah. Tingkat ini digunakan untuk menyimpan alat-alat pertanian, dan kandang ternak. Rumah tradisional Bugis boleh juga digolongkan berdasarkan status pemiliknya atau berdasarkan pelapisan sosial yang berlaku.


OLEH :
ABDUL MUAZ BIN AYUB
NURAKHMAL LYNA BINTI ABD HAMID 
NUR ADILAH BINTI JAAFAR 


Monday, 25 June 2012

Orang Asli Temuan


1.0 PENDAHULUAN

Orang Asli Temuan.  Suatu nama yang jarang-jarang kita dengar, apatah lagi untuk kita kenali dan selami kehidupan mereka. Sebenarnya, mereka ini adalah suatu masyarakat Orang Asli  dari kumpulan Melayu Proto atau lebih mudah dikenali sebagai Melayu Asli. Selangor, Melaka, Pahang, Negeri Sembilan, dan Daerah Muar, Johor merupakan penempatan utama bagi keseluruhan masyarakat Orang Asli Temuan ini. Petempatan-petempatan masyarakat ini terletak berdekatan dengan kampung tradisi Melayu dan di pinggiran bandar. Berdasarkan rekod yang dicatatkan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang dahulunya dikenali sebagai Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA). Suku Temuan merupakan suku keempat terbesar di dalam hierarki kaum Orang Asli di mana jumlah mereka telah meningkat dari sehari ke sehari seramai kira-kira 21 300 orang di Semenanjung Malaysia.
Menurut maklumat daripada orang sumber yang ditemuramah, Encik Petrus A/L Bah Kasim yang merupakan Pembantu Am Pejabat Muzium Orang Asli Ayer Keroh, penempatan Orang Asli Temuan adalah di sekitar Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan sebilangan kecil di daerah Muar, Johor. Menurut beliau, negeri Melaka mempunyai taburan penempatan Orang Asli Temuan yang banyak. Petempatan-petempatan masyarakat ini terletak berdekatan kampung tradisi Melayu dan di pinggiran bandar. Dari aspek kebudayaan pula, Orang Asli Temuan di negara ini mengamalkan adat dan tradisi yang lebih kurang sama kecuali bagi Orang Asli Temuan di Negeri Sembilan yang lebih menjurus kepada pengamalan Adat Perpatih dalam kehidupan mereka, namun tidak banyak bezanya daripada adat suku bangsa Temuan di negeri-negeri lain.


2.0 SOSIALISASI MASYARAKAT ORANG ASLI TEMUAN

       Sebelum menelusuri lebih jauh, eloklah kiranya kita mengenali rupa bentuk Orang Asli Temuan ini terlebih dahulu. Berdasarkan pemerhatian kami terhadap gambar-gambar Orang Asli Temuan yang dipamerkan di dinding-dinding muzium, mereka mempunyai ciri-ciri fizikal yang menyerupai kaum Melayu dan mempunyai rambut lurus dan bertubuh badan sederhana besar. Kebanyakan aspek fizikal orang Temuan mempunyai persamaan dengan orang Melayu. Sebagai tambahan, menurut Carey dalam Suki Mee (2009), Orang Asli Temuan mempunyai mata berwarna coklat pekat dan berukuran sederhana. Mulut mereka pula bersaiz luas dan besar. Perawakan mereka berbeza dengan Orang Asli yang lain. Menariknya, ada yang beranggapan para jejaka kaum Temuan daripada Melayu Asli ini merupakan kaum asli yang paling kacak di antara kaum yang lain Ini memandangkan mereka mempunyai ketinggian yang lebih berbanding kaum yang lain.



        Rajah 2 : Foto wajah suku kaum Temuan lelaki dan perempuan                       
   (sumber : Muzium Orang Asli Ayer Keroh, Melaka)

 Seterusnya, ayuh kita susuri pula organisasi dalam komuniti masyarakat Orang Asli suku Temuan. Mereka dipimpin oleh seorang Batin yang dilantik pada kebiasaannya mengikut keturunan. Perlantikan Batin dibuat berdasarkan ketokohan atau kebolehannya serta berpengetahuan luas tentang hal adat istiadat. Seandainya seseorang Batin meninggal dunia ataupun meletakkan jawatan, satu mesyuarat yang diuruskan oleh Jurukerah dan perundingan yang menggunakan Bahasa Adat secara formal dilaksanakan. Andai kata Batin melanggar adat maka dia berhak dipecat oleh Perut dan pemilihan baru akan dijalankan. Jawatan Menteri pula berfungsi sebagai penasihat kepada Batin, Jurukerah dan Jenang. Sesungguhnya Menteri menguasai dan mahir dalam adat istiadat dan pantang larang dalam masyarakat Temuan. Namun begitu, beliau tiada hak untuk menjatuhkan sebarang hukuman.

Kita masih di dalam dunia organisasi masyarakat Orang Asli Temuan yang mana Tok Jenang ialah Ketua Lembaga Adat yang diwarisi dan mempunyai bidang kuasa yang terhad dalam menjatuhkan hukuman. Jurukerah pula dilantik dengan mendapat persetujuan daripada Lembaga Adat. Keistimewaan beliau adalah beliau boleh menjatuhkan hukuman yang ringan dan menjadi wali iaitu Jurunikah di dalam istiadat perkahwinan. Jawatan Panglima pula dilantik oleh batin sendiri setelah mendapat persetujuan daripada Lembaga Adat. Peranan beliau ialah menjaga dan mengurus kebajikan anak-anak buahnya. Kemudian, Pemangku merupakan satu jawatan yang diwarisi yang mana ia menjalankan tugas yang telah diamanahkan oleh Batin serta berkuasa menjatuhkan hukuman kepada anak buahnya.

 Marcapada ini, masyarakat orang asli Temuan tidak sepenuhnya memiliki jawatan-jawatan seperti yang telah dinyatakan oleh kami di atas. Hasil kajian, lawatan bermakna dan temu bual kami bersama Tok Batin Mengek bin Acai yang merupakan seorang Batin di Kampung Air Tawas, Gunung Ledang, Tangkak, Johor, kami sendiri berjaya menemui jawapannya. Beliau menyatakan bahawa jawatan Batin sememangnya ada dan berfungsi di situ dan dibantu oleh seorang Pembantu Tok Batin. Tiada pula beliau menceritakan tentang jawatan Jurukerah, Panglima, Menteri, Perut, Pemangku dan sebagainya. Kemungkinan besar peranan jawatan-jawatan tersebut itu wujud, namun pelantikan jawatannya  yang tiada di situ. Secara izharnya, Tok Batin bolehlah diumpamakan sebagai Ketua Kampung yang sentiasa sibuk mengurus dan menjaga kebajikan anak-anak buah ataupun penduduk kampungnya.




Rajah 3 : Ringkasan Struktur Organisasi Kaum Temuan hasil daripada penerangan di atas

Persoalan yang timbul seterusnya ialah bagaimana pula dengan kondisi dan dimensi rumah kediaman masyarakat Orang Asli suku Temuan pada zaman dulu dan kini? Tatkala kami melawat ke Muzium Orang Asli, Ayer Keroh, Melaka, kami berjaya menemui jawapannya. Ternyata dalam keadaan tradisional, Orang Asli hidup dengan memburu dan mengumpul makanan dan tidak mempunyai rumah kediaman yang kekal. Mereka hidup berpindah-randah. Namun sejak dulu lagi mereka mampu memiliki rumah yang dibina berasaskan bahan-bahan seperti buluh, kayu-kayu bulat, daun bertam, nipah dan rotan. Fungsi buluh adalah sebagai dinding dan lantai, kayu-kayu bulat pula sebagai rangka asas rumah, daun bertam atau nipah sebagai bumbung, manakala rotan sebagai pengikatnya. Istimewanya, paku sememangnya tidak digunakan sama sekali. Menarik bukan? Sememangnya proses pembinaan rumah tersebut memerlukan sedikit masa dan tenaga untuk disempurnakan.

Ketika di Kampung Air Tawas pula, kami memerhatikan bahawa rata-rata rumah kediaman adalah rumah batu. Memang tidak dinafikan rumah yang berbentuk seperti bangsal berasakan kayu dan buluh masih ada tetapi sedikit sahaja. Menurut Tok Batin Mengek bin Acai, pihak kerajaan negeri Johor sendiri yang memberikan rumah jenis batu itu kepada penduduk masyarakat Orang asli di situ. Pada awalnya, bekalan elektrik di situ tidak ada lagi. Namun setelah mereka membuat permohonan dan atas keprihatinan pihak kerajaan, akhirnya mereka dapat menikmati bekalan elektrik sejak tahun 2009. Buktinya, bekalan elektrik luar bandar Kampung Air Tawas, Ledang Johor telah disempurnakan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Ibrahim Ismail Ibni Sultan Iskandar Al-Haj Tunku Mahkota Johor sempena Kembara Mahkota Jelajah Pedalaman 2009 pada 5 Julai 2009 bersamaan 12 Rejab 1430 Hijrah. Nah! Sudah jelas masyarakat Orang Asli di situ tidak perlu lagi menyalakan pelita, unggun api, ataupun lilin untuk hidup dalam dunia kegelapan malam. Sesungguhnya, hidup mereka secara sedikit demi sedikit telah disuluh sinar cahaya kegembiraan tanpa perlu meraba dalam kegelapan lagi. Namun, sebenarnya banyak lagi hak mereka yang berhak mereka peroleh seperti masyarakat major yang lain.




 Rajah 4 : Rumah lama Orang Temuan di Kampung Air Tawas, Ledang             
  (sumber : Kampung Orang Asli Air Tawas, Ledang, Tangkak, Johor)

  Rajah 5 : Rumah Orang Temuan di Kampung Air Tawas, Ledang sekarang yang sudah banyak bezanya dengan rumah mereka yang asal. 
(sumber : Kampung Orang Asli Air Tawas, Ledang, Tangkak, Johor)
     

          Rajah 6 : Bukti Penyempurnaan Bekalan Elektrik kepada Penduduk Kampung    
   Air Tawas, Ledang Johor pada Tahun 2009
(sumber : Kampung Orang Asli Air Tawas, Ledang, Tangkak, Johor)
      Beralih kepada skop perbincangan yang seterusnya, mereka mempunyai aktiviti harian dan pekerjaan yang tersendiri. Menurut Tok Batin Mengek bin Acai, masyarakat Orang Asli pada kebiasaannya ada yang menoreh getah, mencari rotan dan damar, memburu, menyumpit, bertani, masuk ke hutan,  bekerja sendiri dan sebagainya. Hasil pendapatan mereka juga tidak menentu kerana kadang-kadang ada dan kadang-kadang pula tiada ibarat ‘Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’. Selain itu, mereka juga mencari sumber makanan seperti ular dan lotong yang mana kedua-duanya akan direbus dan dimasak. Sedap katanya.

Anak-anak mereka pula dihantar ke sekolah yang berdekatan untuk mendapatkan hak pendidikan tidak kiralah pendidikan rendah ataupun menengah. Namun, majoritinya berhenti sekolah hanya setakat darjah 6 sahaja, kemudian bekerja untuk menyara keluarga. Namun tidak dinafikan ada yang menyambung pengajian pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi dan berjaya persis saudara Amri bin Jamil yang sedang berkhidmat dan berbakti sebagai Pegawai Sistem Maklumat di Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU). Segelintir yang berjaya dalam kalangan mereka juga ada yang menjadi guru seperti beberapa orang anak Tok Batin Mengek bin Acai. Sebagai tambahan, pelajar-pelajar cemerlang UPSR,PMR dan SPM dalam kalangan masyarakat Orang Asli bukanlah perkara pelik lagi pada zaman kini.


Rajah 7 : Van yang menjadi pengangkutan utama anak-anak Orang Asli di sini untuk pergi ke sekolah (sumber : Kampung Orang Asli Air Tawas, Ledang, Tangkak, Johor)

3.0 KEPERCAYAAN DAN KEBUDAYAAN

Selanjutnya, moleklah rasanya jika kita sama-sama memahami apakah agama dan kepercayaan masyarakat Orang Asli suku Temuan ini. Hasil soal jawab bersama Tok Batin Mengek bin Acai, dan Pegawai Muzium Orang Asli, Ayer Keroh, kami mendapati bahawa majoriti daripada mereka mengamalkan animisme ataupun tidak percaya Tuhan. Mereka lebih mempercayai kepada benda-benda alam seperti pokok, kubur, hantu hutan dan sebagainya.  Mereka mengamalkan agama nenek moyang yang mana mereka mengikut dan percaya sahaja apa yang nenek moyang mereka lakukan dan percaya. Namun tidak dinafikan bahawa ada beberapa orang yang menganuti agama Islam dalam kalangan masyarakat Orang Asli Temuan. Contohnya, di Kampung Air Tawas, Ledang Johor terdapat dua keluarga sahaja yang menganuti agama Islam. Sesungguhnya, dalam era modenisasi kini usaha penyebaran dakwah Islam dalam kalangan masyarakat Orang Asli wajar dipertingkatkan agar mereka dapat menemui sinar Allah yang sebenar, membina cinta sempurna.

Bagaimanakah caranya kita dapat mempertingkatkan dakwah Islam dalam kalangan masyarakat Orang Asli? Marilah kita hayati sedikit intipati ucapan Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan ketika dalam Majlis Perasmian Penutupan Kursus Memperkasakan Kepimpinan Masyarakat Orang Asli Islam Peringkat Kebangsaan pada 23 Mac 2008. Beliau berkata usaha dakwah harus dipertingkatkan lagi dengan penganjuran pelbagai program berkaitan memandangkan bilangan Orang Asli Islam masih pada paras terendah. Secara izharnya, pihak kerajaan, golongan guru dan masyarakat Islam setempat perlulah memainkan peranan yang sangat signifikan dalam menyemai suburkan benih-benih keislaman dalam kalangan masyarakat Orang Asli. Benar kata pepatah Melayu ‘kalau tak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya’.

Setiap kaum di Malaysia ini mempunyai budaya dan tradisi sendiri. Malah pakaian merupakan salah satu tradisi yang melambangkan identiti sesuatu kaum. Misalnya, baju kurung dan baju melayu sudah menjadi pengenalan diri terbaik untuk mengenal masyarakat Melayu. Namun, kini baju kurung dan baju melayu sudah diguna pakai oleh kaum-kaum lain kerana kemajmukan dan rasa kebersamaan dalam masyarakat di Malaysia. Sama juga seperti suku Temuan, mereka juga mempunyai identiti pakaian tersendiri.
Umumnya, pakaian orang Asli diperbuat daripada sumber hutan. Mereka begitu memanfaatkan hasil hutan kerana dari hutan mereka membina koloni tersendiri di Malaysia bumi bertuah ini. Pakaian sehari-harian menunjukkan secara jelas penggunaan kulit Kayu Terap dan Pokok Akar Baru dijadikan dan direka agar menjadi kain cawat yang digunakan oleh kaum lelaki orang Asli Temuan dan disesuaikan rekaan tersebut agar menjadi skirt pendek untuk Kaun wanita. Mereka juga mengenakan hiasan seperti butiran manik yang dijadikan rantai, gelang dan juga gelang kaki.

Pakaian yang dipakai semasa perayaan dan seni Tarian Kong Kong atau lebih dikenali sebagai Tarian Sewang juga lebih kurang sama dengan pakain harian mereka. Kulit Kayu Terap menjadi bahan utama pembuatan pakaian kaum lelaki dan Daun Nipah atau Mengkuang dijadikan pakaian kaum wanita. Malah turut diserikan lagi dengan kraftangan yang menjadi perhiasan bagi persalinan ini iaitu Anyaman Subang. Anyaman Subang ini mempunyai nama-namanya yang unik iaitu Naga Bujang, Selempang dan Jari Lipan. Nama-nama ini dikhaskan mengikut kedudukannya pada tubuh penari tarian.

Namun kini, sejajar dengan peredaran zaman dan kemodenan, suku Orang Asli Temuan juga telah mengubah suai sedikit pakaian yang dipakai. Namun, ciri-ciri tradisi dan identiti masih tetap dikekalkan. Pakaian mereka kini lebih kepada mengekalkan tradisi yang disesuaikan dengan arus perdana dan bukannya sebagai pakaian seharian.

Musim buah-buahan juga dianggap sebagai sebuah pesta dan perayaan bagi kaum Temuan kerana semakin banyak buah-buahan diperolehi, semakin tinggi darjat mereka di dalam masyarakat kerana dianggap kaya dan hidup mewah. Musim buah-buahan disambut setelah selesai musimnya. Hal ini demikian kerana pada musim tersebut masyarakat Temuan bersusah payah mengutip hasil tanaman mereka. Penduduk kampung itu akan berkongsi mengeluarkan belanja untuk membeli barang-barang keperluan untuk meraikannya. Mereka mengadakan majlis tari-menari sebagai tanda kesyukuran kerana hasil buah-buahan bertambah dan akan berlipat ganda di musim akan datang. Malah menurut orang sumber, Encik Mengek bin Acai, semua ahli kampung itu akan dijemput menghadiri keramaian itu dan tradisi tersebut masih diteruskan hingga kini.
Antara perayaan kaum Temuan yang lain juga ialah sambutan untuk tetamu kehormat. Kehadiran tetamu kehormat biasanya disambut dengan permainan alat muzik dan bunyi-bunyian seperti Kong-kong, Tung-tung dan Geng-gong diikuti dengan pelbagai acara persembahan yang menarik seperti tarian tradisi masyarakat kaum ini. Di antara tarian tradisi yang biasa dipersembahkan ialah Tarian Seaman Tunggal, Kapal Terbang, Mengutip Buah, Tarian Limau Manis.

Tarian ini ditarikan oleh anak gadis Temuan yang lengkap dengan pakaian tradisi, perhiasan daun kelapa yang dianyam untuk dijadikan selempang yang dililit di pinggang, kepala dan dada. Perhiasan ini dinamakan Anyaman Subang. Tarian Sewang atau Tarian Kong Kong turut dipersembahkan dengan dikendalikan oleh tujuh pemain muzik dengan memainkan alatan muzik yang diperbuat daripada kayu mahang dan buluh betong.

Memetik kata-kata Encik Mengek bin Acai, sebenarnya, semua jenis perayaan di Malaysia ini, sama ada perayaan kaum Cina, Melayu, India dan lain-lain turut mereka sambut. Tambahan pula, pada setiap kali tibanya Tahun Baharu Cina atau dikenali sebagai Hari Temaruk oleh masyarakat Temuan, mereka akan memberi penghormatan kepada Datuk. Datuk merupakan roh penjaga mereka yang memelihara keselamatan dan keamanan mereka sejak dari dahulu lagi. Justeru, semasa perayaan Tahun Baharu Cina atau Hari Temaruk ini, mereka akan melakukan upacara sembahyang bagi menghormati dan menyanjungi Datuk. 

    Setiap masyarakat mempunyai budaya dan identiti tersendiri dari sudut tarian dan alatan muziknya. Orang Asli Temuan juga tidak ketinggalan daripada nilai estetika kebudayaan yang ‘tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas’ ini. Menurut orang sumber, Tok Batin Mengek Acai, beliau menyatakan bahawa alat muzik utama yang menjadi kegemaran Orang Asli Temuan adalah biola. Gesekan biola biasanya didendangkan di majlis-majlis keramaian seperti majlis perkahwinan, perayaan tahun baru dan lain-lain. Selain itu, alat muzik yang biasanya dimainkan oleh masyarak Asli Temuan adalah seperti Kong-Kong, seruling buluh dan Keranting iaitu sejenis gitar buluh.
       
         
Beralih kepada tarian tradisional masyarakat ini pula, antara yang popular adalah Sewang dan Joget Lambak. Menurut orang sumber lagi, Sewang merupakan satu jenis tarian untuk menyembuhkan sebarang penyakit berkaitan roh dan dipercayai digunakan untuk memuja roh-roh si mati. Namun kini, Sewang lebih bertujuan sebagai acara bersuka ria menyambut tetamu dan lebih dikenali sebagai Tarian Kong-Kong. Tarian ini terdiri daripada tujuh orang pemain muzik, empat belas orang penari dan seorang penyanyi. Alat-alat yang digunakan dalam tarian ini adalah kayu Mahang dan buluh betong


Rajah 16 : Upacara Sewang atau lebih dikenali sebagai tarian Kong-Kong yang dipersembahkan kepada para tetamu sebagai tanda alu-aluan
(Sumber : Video Jejak Budaya Masyarakat Asli Temuan di laman Youtube)

Berbeza dengan Sewang, Joget Lambak dijalankan semasa majlis perkahwinan. Tarian tradisi ini memberi peluang kepada keluraga pengantin untuk bersuka ria dan bermesra setelah berpenat lelah pada sian harinya.Semua orang tidak kira dara, teruna, janda dan duda diberikan kebebasan untuk memilih pasangan untuk menari.Susana dimeriahkan lagi dengan gesekan biola serta pukulan gong dan kompang. Pesta ini berlarutan sehingga lewat malam sehingga mereka letih dan puas.
Secara amnya, menurut orang sumber Tok Batin Mengek Acai yang telah ditemubual, beliau mengatakan bahawa adat istiadat perkahwinan Orang Asli Temuan adalah lebih kurang sama dengan Orang Melayu. Mari kita selami persamaan yang terdapat dalam upacara perkahwinan masyarakat Asli Temuan dengan masyarakat Melayu. Apabila si teruna memberitahu keluarganya bahawa dia berkenan pada seorang gadis, maka bapa saudara si teruna akan pergi merisik melalui bapa saudara si gadis untuk mendapatkan persetujuan. Sekiranya kedua-dua pihak bersetuju, hari pertunangan akan ditetapkan.

Apabila tibanya hari pertunangan, pihak lelaki akan menghantar tanda kepada pihak si gadis berupa sebentuk cincin, sepasang persalinan dan juga alat solek. Si teruna akan menyarungkan cincin kepda si gadis. Jika berlaku langkah bendul iaitu adik yang dipinang dahulu, maka sepersalinan dan pemberian yang sama juga perlu diberi kepada kakaknya. Kemudian, tarikh perkahwinan akan ditetapkan. Hantaran dan belanja hangus pula akan ditentukan oleh pihak si gadis mengikut darjat sesuatu keturunan. Bagi anak-anak yang terdiri daripada pemegang Lembaga Adat, nilai hantarannya adalah yang paling tinggi. Jadi di sini, dapatlah kita lihat bahawa adat perkahwinan mereka lebih kurang sama dengan masyrakat Melayu, tidak jauh bezanya.

Rajah 16 : Foto barang-barang hantaran yang diberikan oleh pihak lelaki kepada pihak perempuan (Sumber : Muzium Orang Asli)

Seterusnya, semasa bersanding, Juru Kerah akan melaksanakan akad nikah. Setelah itu, pangantin akan makan sehidangan. Pengantin lelaki akan menyuapkan nasi kepal ke mulut pengantin perempuan dan juga sebaliknya. Kemudian, barulah mereka makan nasi bersama-sama. Apa yang menarik perhatian kami adalah upacara unik  ‘Makan Sirih’ dan ‘merokok’ yang akan dilakukan di mana pengantin lelaki menyuapkan ke mulut pengantin perempuan sambil tangannya merangkul bahu pengantin perempuan.

Seterusnya mereka akan diberi nasihat tentang hidup berumahtangga sebelum melayari bahtera perkahwinan yang penuh dengan cabaran. Kemudian, pihak pengantin akan bersalaman dengan semua sanak saudara dan para hadirin yang hadir sebagai tanda penghargaan kerana sudi memeriahkan majlis mereka.




Rajah 21 : Foto replika patung yang menggambarkan majlis persandingan suku kaum Temuan (Sumber : Muzium Orang Asli)

Sama seperti masyarakat-masyarakat lain, Orang Asli Temuan juga  yang mempunyai adat resam tersendiri terhadap kelahiran anak mereka. Dari titik permulaan lagi, semasa isteri mengandung, suami juga dikehendaki berpantang. Mereka dilarang melakukan perkara-perkara yang boleh memberi kesan kepada bayi yang akan dilahirkan. Antaranya, mereka dilarang menggali tiang rumah, mengempang sungai, menyimen dan memaku kerana dikhuatiri menyukarkan kelahiran bayi. Mereka juga dilarang membunuh binatang, memelihara binatang liar dan tidak boleh memegang atau memakan kura-kura kerana boleh menyebabkan bayi terkena seman atau sawan. Bayi juga akan berkudis jika suami membakar ladang. Nampak pelik bukan? Tetapi inilah hakikat kepercayaan dan adat resam masyarakat ini.

Kita teruskan lagi tradisi semasa proses bersalin dan menyambut kelahiran bayi. Seorang bidan akan bertindak sebgai pembantu sewaktu proses bersalin berlalu. Selepas proses kelahiran selesai, tali pusat bayi akan dipotong dan bayi akan diberi gelaran ‘nama pusat’ iaitu nama timangan. Menurut kepercayaan mereka, darah ibu yang jatuh ke bumi semasa bersalin akan ditimbus dengan tanah dan diletakkan mengkuang di atasnya bertujuan untuk melindungi ibu daripada diganggu oleh hantu.


Rajah 22 : Bidan yang membantu seorang bakal ibu semasa proses bersalin 
(sumber : Muzium Orang Asli )

Lumrah kehidupan, setiap yang bernyawa pasti merasakan mati. Mengikut adat Orang Asli Temuan, apabila berlaku sesebuah kematian, penduduk sekitar akan menziarahi si mati dan memberi derma ikhlas mengikut kemampuan masing-masing. Penduduk kampung akan berkabung untuk menghormati si mati dan menangguhkan aktiviti harian sehingga selesai upacara pengkebumian untuk mengelakkan bencana seperti mendapat luka dan sebagainya.

Sebelum mayat dikebumikan, mayat tersebut akan dimandikan dan dikapankan dengan cara mereka. Menurut kepercayaan mereka lagi, semasa menunggu mayat, orang yang berada di sekitar tidak boleh bercakap besar. Mereka tidak boleh menyebut perkataan ‘bangun’ kerana ditakuti mayat akan bangun dan mengganggu orang ramai. Mayat juga akan dijaga untuk mengelakkan daripada dilangkah oleh binatang seperti kucing dan ayam. Jika mayat tersebut masih belum dikebumikan, makanan yang dimakan tidak boleh diambil semula kerana dipercayai roh dan semangat orang mati tadi hendak juga makan apa yang orang lain makan. Penduduk juga tidak boleh bersuka ria sebagai tanda untuk menghormati si mati. Pada dahi atau telinga kanak-kanak akan dicalit dengan kapur sirih atau abu kain hitam yang dibakar untuk mengelakkan gangguan roh si mati.

Semasa proses pengkebumian pula, mayat akan dikandar dengan diiringi oleh sanak-saudara dan penduduk kampung ke kubur. Sebelum mayat dikebumikan, di dalam liang lahad akan dibakar kemenyan dan diperasapkan sekelilingnya sebanyak tujuh kali sambil menjampi serapah serta menyeru agar roh si mati akan aman bahagia di tempat yang istimewa dipanggil ‘Pulau Buah’. Tanah yang digunakan untuk menimbus kubur mesti bersih daripada akar. Kemudian, cangkul yang digunakan diketuk sebanyak tujuh kali di atas kubur dan kemenyan akan dibakar di atas kubur tersebut.

Sebelum balik, pelita akan dinyalakan dan diletakkan di atas kubur dan dipasang selama tiga hari berturut-turut pada sebelah petang. Apabila balik dari kubur, mereka akan ditabur dengan serai wangi dan ramuan daun-daun hutan yang dipilih. Orang yang menaburnya akan bersembunyi untuk membuang sial dan menghalau hantu yang mengikut mereka pulang ke rumah. Mereka akan membasuh tangan dengan menggunakan beras yang direndam untuk membuang sial.

Roh si mati akan diberi makan pada hari ketiga di atas para yang disediakan di luar rumah. Pinggan makanan itu adalah daripada daun. Keluarga si mati akan menyeru memberitahu bahawa makanan telah disediakan. Maka pada hari ketujuh, keluarga si mati akan pergi ke kubur dengan membawa hidangan untuk si mati. Makanan tersebut akan diletakkan di atas kubur dan diperasapkan sebanyak tujuh kali. Pada hari keseratus, akan diadakan kenduri yang dinamakan ‘Hari Nauk Tanah’ yang dikenali sebagai kenduri arwah.


Rajah 23 : Contoh kubur suku kaum Temuan yang dipamerkan di Muzium Orang Asli Ayer Keroh, Melaka (Sumber : Muzium Orang Asli)


Rajah 24 : Lagi contoh kubur suku kaum Temuan yang dipamerkan di Muzium Orang Asli Ayer Keroh, Melaka (Sumber : Muzium Orang Asli)

4.0 MAKANAN DAN SUMBERNYA SERTA KELANGSUNGAN HIDUP

Makanan bagi masyarakat Orang Asli Temuan khasnya adalah sama seperti orang asli dari suku-suku yang lain. Hal ini demikian kerana kedudukan topografi mereka yang tinggal di kawasan hutan dan persekitaran semulajadi di muka bumi ini. Antara makanan tersebut ialah, ubi-ubi liar (ubi kapur, ubi tanjung), binatang buruan dan ikan, juga sayuran herba. Kesemuanya ini dapat meningkatkan kecergasan dan membantu meningkatkan kadar vitamin dalam tubuh. Justeru, sumber makanan yang diperoleh semuanya bersumberkan dari hasil hutan yang begitu banyak, sama ada untuk kegunaan harian, perubatan, juga dikomersialkan sebagaimana sekarang.

Malah peralatan memasak seperti senduk, bekas beras dan pinggan mangkuk juga turut menggunakan sumber-sumber hutan. Proses memungut dan memburu hasil hutan ini juga sangat unik kerana, mereka menggunakan peralatan memburu dan perangkap yang begitu efektif dan berkesan seperti, Jerat Tupai dan Perangkap Serkap. Peralatan memasak utama adalah buluh. Buluh yang berbeza digunakan untuk fungsi masakan yang berbeza. Misalnya, ada buluh untuk memasak ubi kayu, buluh untuk memasak ikan, dan buluh untuk mengisi air dan sebagainya.

Selain menikmati makanan dari sumber hutan untuk meneruskan kelangsungan hidup,  makanan perubatan dari sumber hutan turut juga dimanfaatkan oleh orang asli suku Temuan seperti Tongkat Ali, Kacip Fatimah, Pokok Gajah Beranak, Pisang Hutan dan pelbagai lagi. Makanan mereka juga dimasak dengan cara yang unik sekali, antaranya dengan menggabungkan nasi dan hasil buruan seperti ikan di dalam buluh yang sama dan dibakar. Hal ini akan menambahkan lagi keenakan dan kelazatan makanan dari perisa asli yang digabungkan. Malah resepi dan cara masakan mereka yang unik ini disebarluaskan, antaranya seperti Ayam dalam Buluh, Ikan Pais dan Pulut dalam Periuk Kera.

 PENUTUP


 Apa yang dapat disimpulkan dari tugasan Hubungan Etnik khususnya tentang masyarakat Orang Asli Temuan ini antaranya ialah, pemerolehan ilmu yang tidak terbanding dan ternilai harganya. Penerokaan kami secara penulisan dan temubual dengan orang sumber begitu membantu dan mendedahkan kami dengan aktiviti sosial, luar dari kebiasaan tugasan kami yang lain. Masyarakat orang asli bukanlah satu kaum yang perlu ditakuti untuk didekati, malah mereka begitu ramah dan sangat terbuka berkongsi budaya dan tradisi mereka.
Masyarakat orang asli bukanlah masyarakat terpinggir dan kini kerajaan dalam usahanya yang padu cuba meningkatkan taraf hidup masyarakat orang asli ini melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA). Mereka kini bukan lagi masyarakat yang dibelenggu kemiskinan dan bukan lagi umpama katak di bawah tempurung kerana, kini akses kepada kemudahan asas seperti air, elektrik ditingkatkan. Tambahan pula, akses kepada pendidikan juga dilipat gandakan. Hasilnya, masyarakat orang asli kini tidak ketinggalan menuntut di institut pengajian tinggi di serata Malaysia.
Kita tidak boleh memandang sesuatu kaum itu berdasarkan kelainan agama, budaya dan tradisi dengan pandangan negatif sahaja. Tetapi perlu diingat bahawa kepelbagaian inilah yang menjadikan Malaysia terkenal dengan jolokan negara majmuk di serata dunia kerana mampu mengekalkan kemakmuran dan kesejahteraan meski begitu banyak kaum menghuni bumi Malaysia. Mereka kini lebih bijak mengekalkan tradisi dalam arus perdana. Mereka tidak meninggalkan tradisi, tetapi menggabung jalinkannya dengan pembangunan dan kemodenan.
Tuntasnya, kewujudan masyarakat Orang Asli ini perlu diketahui umum, kerana masih ramai lagi yang kurang senang mendekati mereka. Budaya dan tradisi mereka mungkin agak berbeza namun ianya begitu unik. Malah melalui tugasan seperti inilah kami dapat menyebarluaskan kajian kami terhadap masyarakat Orang Asli temuan khasnya. Penting untuk kita menerokai dan memahami mereka, kerana mereka juga sebahagian dari populasi rakyat di negara ini.


OLEH :
 MOHAMAD NAZRIN BIN ABDULLAH
FARAH HUSNA BINTI BUSRI
SITI ZURINA BINTI ABD GAFFAR

Thursday, 17 May 2012

KONSEP MODENISASI

PEMODENAN baik pemodenan ekonomi ataupun pemodenan politik akan memberi impak besar terutama pada negara yang baru merdeka. Pemodenan dapat menstruktur semula negara yang baru merdeka berkenaan dan akan dirubah mengikut gaya baru yang sesuai dengan pihak/pemikir yang mempromosi pemodenan berkenaan. Pengertian tentang modenisasi agak pelbagai dan bergantung juga kepada zaman atau era-era tertentu dan pendekatan yang digunapakai oleh pemikirnya. Salah satu definisi yang agak semasa dan sederhana ialah modenisasi adalah pembangunan berencana yang distrukturkan dengan pendekatan ekonomi tertentu dan ia dibezakan dengan pembangunan yang tidak berencana yang selalu disinonimkan dengan pembaratan (Shamsul Amri Baharuddin,2007. 

 Namun modenisasi bukanlah satu gagasan yang bebas nilai dan boleh berdiri sendiri tanpa dikaitkan dengan latar sejarah gagasan itu dan juga aplikasinya. Walaupun konsep ini digunakan dengan definisi baru tetapi ia tidak dapat lari dari konotasi asal sebagaimana yang pernah digunakan oleh kebanyakan ahli-ahli sosiologi atau lebih khusus lagi ahli-ahli ekonomi pembangunan. Oleh itu asas teoritis konsep ini seperti yang lazim dipakai dalam ilmu sosiologi perlu difahami. Kritik terhadap modenisasi pula tidak boleh dilihat sebagai kritikan golongan kiri ataupun sebagai anti Barat. Sebaliknya ia adalah satu kritik yang sah dan dilakukan oleh ahli-ahli sosiologi pembangunan dalam negeri seperti Shamsul Amri Baharuddin (1977) dan juga ahli-ahli sosiologi pembangunan antarabangsa seperti A.G Frank (1967). Malah sarjana Islam juga menyuarakan kritik yang tajam terhadap modenisasi kerana sifatnya yang anti tradisi itu (Wan Muhammad Ali 1977). Untuk bersikap objektif terhadap gagasan ini dan kesannya, maka gagasan ini perlu diteliti asal-usulnya terutama dari segi epistimologi dan konteks penggunaannya. 

Kaitan Modenisasi dengan Teori Dalaman.

 Penelitian ke atas masyarakat di luar daripada tamadun Barat pada umumnya didominasi oleh Teori Dalaman[1]. Teori ini menganggap bahawa sesebuah bentuk masyarakat adalah ditentukan oleh sifat-sifat tertentu yang berupa ciri dalaman kepada masyarakat berkenaan dan terasing daripada pengaruh yang datang daripada lingkungan masyarakat antarabangsa. Teori Dalaman menumpukan penelitian kepada nilai, sikap dan motif sebagai sifat-sifat dalaman sesebuah masyarakat dan faktor inilah yang akan menentukan atau menggalakkan berlakunya perubahan dalam masyarakat berkenaan.Faktor-faktor dari luar seperti perubahan diperingkat antarabangsa ataupun negara jiran tidak akan membawa perubahan signifikan kepada masyarakat berkenaan. Mengikut teori ini halangan pembangunan dalam sesebuah negara ialah halangan dalaman, seperti sikap, adat dan lain-lain. 

Satu dimensi lain yang penting dalam teori dalaman ini ialah rangka kerjanya berdasarkan belahan atau diakotomi yang akan mewujudkan dua kategori atau dua kelompok idea yang bertentangan. Setiap kelompok itu terletak bersebelahan tetapi terpisah - kedua-duanya adalah berbeza. Antara jenis-jenis idea yang saling bertentangan ini ialah diakotomi antara moden - tradisional.Moden mempunyai ciri-ciri tertentu seperti berdasarkan kehendak pasaran, berintensifkan modal, berteknologi tinggi dan lain-lain manakala tradisi pula mempunyai ciri yang bertentangan dengan ciri moden. Ciri-ciri terasnya ialah bersifat cukup hidup, berintensifkan tenagan empat kerat selain daripada menggunakan teknologi simple. Moden dan tradisi dalam teori dalaman ini di pertentangkan sehingga ia tidak dapat wujud serentak. 

 Dasar asas teori diakotomi ialah menerapkan idea bahawa masyarakat Barat dan masyarakat bukan Barat (atau dikenali sebagai Dunia Ketiga), yang juga bekas koloni kepada masyarakat Barat adalah dua bahagian yang terpisah. Masyarakat Barat dikelaskan sebagai masyarakat moden dan mereka telah mengalami perubahan daripada zaman tradisionalnya melalui proses modenisasi. Manakala masyarakat bukan-barat pula masih lagi berada pada peringkat tradisionalnya dan perubahan serta modenisasi boleh dicapai dengan berlakunya perubahan dalaman. Pendekatan dualisme yang dibayangi oleh faham etnosentrisme seperti ini sememang telah menjadi satu cara gaya sarjana barat dahulu melihat perubahan yang berlaku di luar wilayah mereka. Mereka mengambil sikap kaedah yang boleh digunapakai untuk mencapai permodenan di negara timur yang mereka jajah ialah melalui memajukan sistem pendidikan, melemahkan kuasa kepemimpinan tradisional seperti sistem politik feudal dan mengantikannya dengan politik demokratik dan juga memodenkan sistem komunikasi. 

 Pembangunan ekonomi seperti juga pemodenan politik telah menetapkan matlamat, kaedah dan ukuran pencapaian. Matlamat dalam pembangunan ekonomi ialah membawa kemajuan ekonomi, kaedah yang digunakan dalam pemodenan ialah dengan memajukan teknologi, membangunan pertanian supaya ala-ala industri, urbanisasi dan industrialisasi.

 Kesan Modenisasi ke Atas Dunia Ketiga 

 Modenisasi selalu dipandang sebagai sebagai kaedah terunggul dan penyelamat kepada negara yang baru maju dan merdeka. Di sebalik imej muluk yang dibawanya ia juga boleh diibaratkan duri dalam daging yang akan membawa masyarakat yang ghairah untuk berubah kepada kemunduran ekonomi dan kehilangan jatidiri. Mereka akan terperangkap dan tidak dapat keluar daripada pusingan ganas sistem kapitalis moden yang mereka tidak biasa lalui. 

 Sasaran awal yang cuba diruntuhkan oleh pemuka pemodenan ialah nilai-nilai atau sahaja yang berkaitan dengan sifat tradisional. Keadaan dalam tradisional dianggap statik atau jumud dan dikunci oleh adat resam yang dikeramatkan dan diperkukuhkan oleh sistem politik yang bercorak autoritarianisme. Manakala modenisasi pula selalu dianggap sebagai antitesis (lawan) tradisi. Oleh itu tiada nilai-nilai tradisi yang dapat wujud bersama dengan nilai moden. Satu-satunya pilihan yang ada untuk memodenkan sesebuah masyarkat mengikut skima permodenan barat ialah meninggalkan sama sekali unsur-unsur tradisional. Semua perubahan dalaman ini dianggap kunci perubahan yang penting kerana masyarakat tradisional disaluti oleh ciri-ciri keusangan dan lapuk dalam nilai, kepercayaan, sikap dan perwatakan anggota-anggotanya. Syarat ketat dan melampau seperti ini yang dituntut ke atas masyarakat dunia ketiga menyebabkan berlakunya tindakbalas yang juga keterlaluan. Mengikut Hagen (1962) ketaksuban terhadap nilai-nilai tradisi oleh sesetengah kelompok masyarakat adalah tindakbalas mereka terhadap pemodenan yang telah menghimpit jiwa dan raga mereka. Kemunculan golongan militan dan radikal yang menentang pemerintah pusat seperti di beberapa buah negara Amerika Latin adalah contoh himpitan permodenan ini. 

 Jikapun tiada pertentangan terbuka dari masyarakat awam, proses modenisasi yang berteraskan kapitalisme barat akan menyebabkan negara-negara yang mulanya mengamalkan sistem ekonomi tradisional terpaksa mengorbankan beberapa budaya material seperti kraf tradisi mereka, teknologi dan pengetahuan tempatan sehinggalah kepada identiti mereka sendiri. Contoh yang paling ketara ialah kesan yang menimpa masyarakat arang asli di Malaysia. Modenisasi yang dipaksakan ke atas mereka menyebabkan mereka tidak lagi berkebolehan mempraktikan sains (ilmu) dan teknologi (peralatan tradisional) yang pernah mereka warisi dari luluhur mereka. Malah pengetahuan tentang herba dan tumbuhan hutan yang dulunya menjadi sebahagian daripada habitat mereka juga turut hilang. Ini berlaku kerana penempatan baru mereka dan cara hidup baru yang diperkenalkan kepada mereka menjauhkan mereka dari segi bathin dan fizikal dengan ilmu-ilmu tradisional ini. Baik kepada masyarakat orang asli maupun pada peringkat negara-negara yang telah merdeka, kerana terlalu bergantung kepada bantuan-bantuan kerajaan ataupun negara pemberi bantuan yang tak pernah putus-putus maka wujud pengantungan yang berterusan dan hal ini dikonsepsikan oleh A.G.Frank (1971) sebagai Teori Pengantungan atau Dependency Theory. Walaupun atas alasan masyarakat yang masih ketinggalan juga berhak menikmati kemajuan yang dibawa oleh pemodenan dan pembuanaan tetapi mereka selalunya adalah dipihak yang kecundang. Yang dikejar tak dapat, yang dikendung keciciran. 

Ahli-ahli sains sosial di Malaysia juga mengkritik pemodenan yang berat sebelah ini. Mengikut mereka walaupun terdapat beberapa perubahan yang nampaknya seperti kejayaan-kejayaan, namun masih terdapat banyak isu dan masalah berkaitan pembangunan yang perlu ditangani dan diselesaikan. Sebenarnya di banyak negara, keperluan asas untuk kehidupan yang relatifnya memuaskan dan produktif masih belum diperolehi. Antara masalah yang masih belum terselesai sungguhpun terdapat pertumbuhan ekonomi dalam negara-negara tertentu ialah masalah kemiskinan dan ketaksamaan, pengangguran, juga social dislocation. Bahkan, dari segi realitinya jurang antara negara kaya dan negara miskin semakin melebar. Boleh dikatakan jurang ini merupakan antara ciri utama pertumbuhan pada abad ke-20 yang lepas. Begitu juga jurang antara golongan berada dan golongan termiskin dalam sesebuah negara (Ketua Editor Jurnal Akademika 64 - Atas talian, www.penerbit.ukm.my/jademik.html) 

 Keadaan ini menunjukkan bahawa proses pembangunan sebenarnya belum sepenuhnya berjaya untuk memenuhi matlamatnya untuk menghasilkan pertumbuhan dan membawa kesejahteraan hidup kepada seluruh penduduk dunia amnya. Faedah pembangunan yang telah terhasil kini telah tidak diagihkan secara sama rata sama ada antara negara ataupun di dalam negara, antara yang kaya dan yang miskin. Boleh dikatakan masalah kemiskinan semakin meningkat di banyak negara. 

Dalam hal ini banyak kajian telah menunjukkan masalah asas kegagalan itu adalah berkaitan dengan andaian yang mendasari pemikiran kenapa negara-negara kurang membangun itu berada dalam keadaan tersebut. Pendekatan dan pemikiran asas pembangunan ini menganggap negara-negara Dunia Ketiga atau negara kurang membangun sebagai satu kumpulan negara yang bersifat homogen. Dengan demikian, apa yang dianggap baik untuk negara-negara maju adalah juga dianggap baik untuk semua negara sedang membangun. Selain itu, terdapatnya anggapan bahawa untuk mengalami keadaan pembangunan seperti yang dinikmati negara maju, maka negara sedang membangun perlu melalui proses dan pengalaman pembangunan yang sama. Justeru, negara sedang membangun telah ternafi sejarah mereka sendiri, telah dikategorikan sebagai ‘mundur’ dan ‘tradisional’ dan kemudian dihulurkan ‘bantuan’ yang dianggap ‘sesuai’ untuk menghapuskan keadaan ‘mundur’ dan ‘tradisional’ yang telah dikenal pasti itu supaya jurang pembangunan dapat dihapuskan. 

 Modenisasi dan Globalisasi

 Globalisasi seperti juga modenisasi digandingkan dengan konsep yang muluk-muluk seperti ‘paradigm shift’, ‘global village’ ataupun ‘the boderless world’. Ia satu fenomena yang cukup berpengaruh dekad ini yang mampu memberi suatu cabaran dan berperanan untuk menwujudkan hambatan dalam pembangunan sesebuah negara. Tamadun yang cergas dan dinamik boleh mencetuskan serta mencorakkan globalisasi. Sebaliknya globalisasi boleh meninggalkan kesan yang positif dan tidak kurang juga negatif ke atas sesebuah tamadun. 

 Mengikut Prof. Osman Bakar (2008), fenomena globalisasi telah wujud dalam tamadun-tamadun lampau termasuk tamadun Islam. Dengan kemajuan sains dan teknologi Islam dahulu semua masyarakat dunia mengunjungi universiti-universiti Islam, mempelajari ilmu dan bahasa orang Islam dan menterjemahkannya ke bahasa mereka. Globalisasi Islam sebenarnya masih berjalan dan mempunyai impak serta implikasi besar misalnya melalui aktiviti Haji yang telah berjaya menghimpun seluruh umat Islam dari seluruh dunia di Mekkah di bawah gagasan idea Tauhid. Namun globalisasi bawaan Islam tidaklah sekejam globalisasi Barat yang bersifat memaksa kerana Barat mempunyai unsur kekuasaan, ketenteraan dan dominasi secara paksa atas orang lain.  Globalisasi dalam bentuk yang terselindung dan tersirat adalah lanjutan daripada proses imperialisme budaya dan bahasa yang berkembang sejak zaman penjajah pada abad ke-19. Pendorong utama ialah kemajuan telekomunikasi yang menprojeksikan keunggulan tamadun Barat sebagai model unggul tamadun dunia. 

Globalisasi dan modenisasi adalah ibarat dua muka pada wang siling yang sama, walaupun namanya berbeza tetapi nilai dan impaknya adalah serupa. Kesimpulan Kekurangan dan kelemahan teori diakotomi menyebabkan ia dikritik dan ditolak oleh banyak pihak. Namun dalam masyarakat yang baru merdeka dan ingin membentuk kemandirian ekonomi dan budaya, mereka menggangap ubat yang paling mujarab ialah melalui modenisasi dan menerima secara total faham globalisme. Pendefinisian yang jelas dan penilaian semula perlu dilakukan secara objektif terhadap sejauh mana wajarnya modenisasi dan globalisasi dalam pembinaan masyarakat Malaysia yang maju. 

 Senarai Rujukan 
 1. Frank. A. G. 1967. Sociology of Under-development and Under-development of Sociology. Catalyst (3):20-73. University of New York: Buffalo. 
2. Hagen, E. H . 1962. On The Teory of social Change. (an adaptation) Feffer & Simons Inc: New York. 3. Shamsul Amri. 1975. RMK Tujuan dan Perlaksanaanya: Satu Penilaian Teoritis. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
4. Shamsul Amri Baharuddin (ed.). 2007. Modul Hubungan Etnik. UPENA: Shah Alam 
5. Osman Bakar.2008. "Pengaruh Globalisasi Terhadap Peradaban" dalam Jurnal Peradaban, 1.Kuala Lumpur
 6. Wan Muhammad Ali. 1977. Islam dan Modenisma. Angkatan Belia Islam Malaysia: Kuala Lumpur.
 7. www.penerbit.ukm.my/jademik.html . Di lawati pada 9 hb. Ogos 2007