Monday, 25 June 2012

Orang Asli Temuan


1.0 PENDAHULUAN

Orang Asli Temuan.  Suatu nama yang jarang-jarang kita dengar, apatah lagi untuk kita kenali dan selami kehidupan mereka. Sebenarnya, mereka ini adalah suatu masyarakat Orang Asli  dari kumpulan Melayu Proto atau lebih mudah dikenali sebagai Melayu Asli. Selangor, Melaka, Pahang, Negeri Sembilan, dan Daerah Muar, Johor merupakan penempatan utama bagi keseluruhan masyarakat Orang Asli Temuan ini. Petempatan-petempatan masyarakat ini terletak berdekatan dengan kampung tradisi Melayu dan di pinggiran bandar. Berdasarkan rekod yang dicatatkan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang dahulunya dikenali sebagai Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA). Suku Temuan merupakan suku keempat terbesar di dalam hierarki kaum Orang Asli di mana jumlah mereka telah meningkat dari sehari ke sehari seramai kira-kira 21 300 orang di Semenanjung Malaysia.
Menurut maklumat daripada orang sumber yang ditemuramah, Encik Petrus A/L Bah Kasim yang merupakan Pembantu Am Pejabat Muzium Orang Asli Ayer Keroh, penempatan Orang Asli Temuan adalah di sekitar Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan sebilangan kecil di daerah Muar, Johor. Menurut beliau, negeri Melaka mempunyai taburan penempatan Orang Asli Temuan yang banyak. Petempatan-petempatan masyarakat ini terletak berdekatan kampung tradisi Melayu dan di pinggiran bandar. Dari aspek kebudayaan pula, Orang Asli Temuan di negara ini mengamalkan adat dan tradisi yang lebih kurang sama kecuali bagi Orang Asli Temuan di Negeri Sembilan yang lebih menjurus kepada pengamalan Adat Perpatih dalam kehidupan mereka, namun tidak banyak bezanya daripada adat suku bangsa Temuan di negeri-negeri lain.


2.0 SOSIALISASI MASYARAKAT ORANG ASLI TEMUAN

       Sebelum menelusuri lebih jauh, eloklah kiranya kita mengenali rupa bentuk Orang Asli Temuan ini terlebih dahulu. Berdasarkan pemerhatian kami terhadap gambar-gambar Orang Asli Temuan yang dipamerkan di dinding-dinding muzium, mereka mempunyai ciri-ciri fizikal yang menyerupai kaum Melayu dan mempunyai rambut lurus dan bertubuh badan sederhana besar. Kebanyakan aspek fizikal orang Temuan mempunyai persamaan dengan orang Melayu. Sebagai tambahan, menurut Carey dalam Suki Mee (2009), Orang Asli Temuan mempunyai mata berwarna coklat pekat dan berukuran sederhana. Mulut mereka pula bersaiz luas dan besar. Perawakan mereka berbeza dengan Orang Asli yang lain. Menariknya, ada yang beranggapan para jejaka kaum Temuan daripada Melayu Asli ini merupakan kaum asli yang paling kacak di antara kaum yang lain Ini memandangkan mereka mempunyai ketinggian yang lebih berbanding kaum yang lain.



        Rajah 2 : Foto wajah suku kaum Temuan lelaki dan perempuan                       
   (sumber : Muzium Orang Asli Ayer Keroh, Melaka)

 Seterusnya, ayuh kita susuri pula organisasi dalam komuniti masyarakat Orang Asli suku Temuan. Mereka dipimpin oleh seorang Batin yang dilantik pada kebiasaannya mengikut keturunan. Perlantikan Batin dibuat berdasarkan ketokohan atau kebolehannya serta berpengetahuan luas tentang hal adat istiadat. Seandainya seseorang Batin meninggal dunia ataupun meletakkan jawatan, satu mesyuarat yang diuruskan oleh Jurukerah dan perundingan yang menggunakan Bahasa Adat secara formal dilaksanakan. Andai kata Batin melanggar adat maka dia berhak dipecat oleh Perut dan pemilihan baru akan dijalankan. Jawatan Menteri pula berfungsi sebagai penasihat kepada Batin, Jurukerah dan Jenang. Sesungguhnya Menteri menguasai dan mahir dalam adat istiadat dan pantang larang dalam masyarakat Temuan. Namun begitu, beliau tiada hak untuk menjatuhkan sebarang hukuman.

Kita masih di dalam dunia organisasi masyarakat Orang Asli Temuan yang mana Tok Jenang ialah Ketua Lembaga Adat yang diwarisi dan mempunyai bidang kuasa yang terhad dalam menjatuhkan hukuman. Jurukerah pula dilantik dengan mendapat persetujuan daripada Lembaga Adat. Keistimewaan beliau adalah beliau boleh menjatuhkan hukuman yang ringan dan menjadi wali iaitu Jurunikah di dalam istiadat perkahwinan. Jawatan Panglima pula dilantik oleh batin sendiri setelah mendapat persetujuan daripada Lembaga Adat. Peranan beliau ialah menjaga dan mengurus kebajikan anak-anak buahnya. Kemudian, Pemangku merupakan satu jawatan yang diwarisi yang mana ia menjalankan tugas yang telah diamanahkan oleh Batin serta berkuasa menjatuhkan hukuman kepada anak buahnya.

 Marcapada ini, masyarakat orang asli Temuan tidak sepenuhnya memiliki jawatan-jawatan seperti yang telah dinyatakan oleh kami di atas. Hasil kajian, lawatan bermakna dan temu bual kami bersama Tok Batin Mengek bin Acai yang merupakan seorang Batin di Kampung Air Tawas, Gunung Ledang, Tangkak, Johor, kami sendiri berjaya menemui jawapannya. Beliau menyatakan bahawa jawatan Batin sememangnya ada dan berfungsi di situ dan dibantu oleh seorang Pembantu Tok Batin. Tiada pula beliau menceritakan tentang jawatan Jurukerah, Panglima, Menteri, Perut, Pemangku dan sebagainya. Kemungkinan besar peranan jawatan-jawatan tersebut itu wujud, namun pelantikan jawatannya  yang tiada di situ. Secara izharnya, Tok Batin bolehlah diumpamakan sebagai Ketua Kampung yang sentiasa sibuk mengurus dan menjaga kebajikan anak-anak buah ataupun penduduk kampungnya.




Rajah 3 : Ringkasan Struktur Organisasi Kaum Temuan hasil daripada penerangan di atas

Persoalan yang timbul seterusnya ialah bagaimana pula dengan kondisi dan dimensi rumah kediaman masyarakat Orang Asli suku Temuan pada zaman dulu dan kini? Tatkala kami melawat ke Muzium Orang Asli, Ayer Keroh, Melaka, kami berjaya menemui jawapannya. Ternyata dalam keadaan tradisional, Orang Asli hidup dengan memburu dan mengumpul makanan dan tidak mempunyai rumah kediaman yang kekal. Mereka hidup berpindah-randah. Namun sejak dulu lagi mereka mampu memiliki rumah yang dibina berasaskan bahan-bahan seperti buluh, kayu-kayu bulat, daun bertam, nipah dan rotan. Fungsi buluh adalah sebagai dinding dan lantai, kayu-kayu bulat pula sebagai rangka asas rumah, daun bertam atau nipah sebagai bumbung, manakala rotan sebagai pengikatnya. Istimewanya, paku sememangnya tidak digunakan sama sekali. Menarik bukan? Sememangnya proses pembinaan rumah tersebut memerlukan sedikit masa dan tenaga untuk disempurnakan.

Ketika di Kampung Air Tawas pula, kami memerhatikan bahawa rata-rata rumah kediaman adalah rumah batu. Memang tidak dinafikan rumah yang berbentuk seperti bangsal berasakan kayu dan buluh masih ada tetapi sedikit sahaja. Menurut Tok Batin Mengek bin Acai, pihak kerajaan negeri Johor sendiri yang memberikan rumah jenis batu itu kepada penduduk masyarakat Orang asli di situ. Pada awalnya, bekalan elektrik di situ tidak ada lagi. Namun setelah mereka membuat permohonan dan atas keprihatinan pihak kerajaan, akhirnya mereka dapat menikmati bekalan elektrik sejak tahun 2009. Buktinya, bekalan elektrik luar bandar Kampung Air Tawas, Ledang Johor telah disempurnakan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Ibrahim Ismail Ibni Sultan Iskandar Al-Haj Tunku Mahkota Johor sempena Kembara Mahkota Jelajah Pedalaman 2009 pada 5 Julai 2009 bersamaan 12 Rejab 1430 Hijrah. Nah! Sudah jelas masyarakat Orang Asli di situ tidak perlu lagi menyalakan pelita, unggun api, ataupun lilin untuk hidup dalam dunia kegelapan malam. Sesungguhnya, hidup mereka secara sedikit demi sedikit telah disuluh sinar cahaya kegembiraan tanpa perlu meraba dalam kegelapan lagi. Namun, sebenarnya banyak lagi hak mereka yang berhak mereka peroleh seperti masyarakat major yang lain.




 Rajah 4 : Rumah lama Orang Temuan di Kampung Air Tawas, Ledang             
  (sumber : Kampung Orang Asli Air Tawas, Ledang, Tangkak, Johor)

  Rajah 5 : Rumah Orang Temuan di Kampung Air Tawas, Ledang sekarang yang sudah banyak bezanya dengan rumah mereka yang asal. 
(sumber : Kampung Orang Asli Air Tawas, Ledang, Tangkak, Johor)
     

          Rajah 6 : Bukti Penyempurnaan Bekalan Elektrik kepada Penduduk Kampung    
   Air Tawas, Ledang Johor pada Tahun 2009
(sumber : Kampung Orang Asli Air Tawas, Ledang, Tangkak, Johor)
      Beralih kepada skop perbincangan yang seterusnya, mereka mempunyai aktiviti harian dan pekerjaan yang tersendiri. Menurut Tok Batin Mengek bin Acai, masyarakat Orang Asli pada kebiasaannya ada yang menoreh getah, mencari rotan dan damar, memburu, menyumpit, bertani, masuk ke hutan,  bekerja sendiri dan sebagainya. Hasil pendapatan mereka juga tidak menentu kerana kadang-kadang ada dan kadang-kadang pula tiada ibarat ‘Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’. Selain itu, mereka juga mencari sumber makanan seperti ular dan lotong yang mana kedua-duanya akan direbus dan dimasak. Sedap katanya.

Anak-anak mereka pula dihantar ke sekolah yang berdekatan untuk mendapatkan hak pendidikan tidak kiralah pendidikan rendah ataupun menengah. Namun, majoritinya berhenti sekolah hanya setakat darjah 6 sahaja, kemudian bekerja untuk menyara keluarga. Namun tidak dinafikan ada yang menyambung pengajian pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi dan berjaya persis saudara Amri bin Jamil yang sedang berkhidmat dan berbakti sebagai Pegawai Sistem Maklumat di Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU). Segelintir yang berjaya dalam kalangan mereka juga ada yang menjadi guru seperti beberapa orang anak Tok Batin Mengek bin Acai. Sebagai tambahan, pelajar-pelajar cemerlang UPSR,PMR dan SPM dalam kalangan masyarakat Orang Asli bukanlah perkara pelik lagi pada zaman kini.


Rajah 7 : Van yang menjadi pengangkutan utama anak-anak Orang Asli di sini untuk pergi ke sekolah (sumber : Kampung Orang Asli Air Tawas, Ledang, Tangkak, Johor)

3.0 KEPERCAYAAN DAN KEBUDAYAAN

Selanjutnya, moleklah rasanya jika kita sama-sama memahami apakah agama dan kepercayaan masyarakat Orang Asli suku Temuan ini. Hasil soal jawab bersama Tok Batin Mengek bin Acai, dan Pegawai Muzium Orang Asli, Ayer Keroh, kami mendapati bahawa majoriti daripada mereka mengamalkan animisme ataupun tidak percaya Tuhan. Mereka lebih mempercayai kepada benda-benda alam seperti pokok, kubur, hantu hutan dan sebagainya.  Mereka mengamalkan agama nenek moyang yang mana mereka mengikut dan percaya sahaja apa yang nenek moyang mereka lakukan dan percaya. Namun tidak dinafikan bahawa ada beberapa orang yang menganuti agama Islam dalam kalangan masyarakat Orang Asli Temuan. Contohnya, di Kampung Air Tawas, Ledang Johor terdapat dua keluarga sahaja yang menganuti agama Islam. Sesungguhnya, dalam era modenisasi kini usaha penyebaran dakwah Islam dalam kalangan masyarakat Orang Asli wajar dipertingkatkan agar mereka dapat menemui sinar Allah yang sebenar, membina cinta sempurna.

Bagaimanakah caranya kita dapat mempertingkatkan dakwah Islam dalam kalangan masyarakat Orang Asli? Marilah kita hayati sedikit intipati ucapan Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan ketika dalam Majlis Perasmian Penutupan Kursus Memperkasakan Kepimpinan Masyarakat Orang Asli Islam Peringkat Kebangsaan pada 23 Mac 2008. Beliau berkata usaha dakwah harus dipertingkatkan lagi dengan penganjuran pelbagai program berkaitan memandangkan bilangan Orang Asli Islam masih pada paras terendah. Secara izharnya, pihak kerajaan, golongan guru dan masyarakat Islam setempat perlulah memainkan peranan yang sangat signifikan dalam menyemai suburkan benih-benih keislaman dalam kalangan masyarakat Orang Asli. Benar kata pepatah Melayu ‘kalau tak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya’.

Setiap kaum di Malaysia ini mempunyai budaya dan tradisi sendiri. Malah pakaian merupakan salah satu tradisi yang melambangkan identiti sesuatu kaum. Misalnya, baju kurung dan baju melayu sudah menjadi pengenalan diri terbaik untuk mengenal masyarakat Melayu. Namun, kini baju kurung dan baju melayu sudah diguna pakai oleh kaum-kaum lain kerana kemajmukan dan rasa kebersamaan dalam masyarakat di Malaysia. Sama juga seperti suku Temuan, mereka juga mempunyai identiti pakaian tersendiri.
Umumnya, pakaian orang Asli diperbuat daripada sumber hutan. Mereka begitu memanfaatkan hasil hutan kerana dari hutan mereka membina koloni tersendiri di Malaysia bumi bertuah ini. Pakaian sehari-harian menunjukkan secara jelas penggunaan kulit Kayu Terap dan Pokok Akar Baru dijadikan dan direka agar menjadi kain cawat yang digunakan oleh kaum lelaki orang Asli Temuan dan disesuaikan rekaan tersebut agar menjadi skirt pendek untuk Kaun wanita. Mereka juga mengenakan hiasan seperti butiran manik yang dijadikan rantai, gelang dan juga gelang kaki.

Pakaian yang dipakai semasa perayaan dan seni Tarian Kong Kong atau lebih dikenali sebagai Tarian Sewang juga lebih kurang sama dengan pakain harian mereka. Kulit Kayu Terap menjadi bahan utama pembuatan pakaian kaum lelaki dan Daun Nipah atau Mengkuang dijadikan pakaian kaum wanita. Malah turut diserikan lagi dengan kraftangan yang menjadi perhiasan bagi persalinan ini iaitu Anyaman Subang. Anyaman Subang ini mempunyai nama-namanya yang unik iaitu Naga Bujang, Selempang dan Jari Lipan. Nama-nama ini dikhaskan mengikut kedudukannya pada tubuh penari tarian.

Namun kini, sejajar dengan peredaran zaman dan kemodenan, suku Orang Asli Temuan juga telah mengubah suai sedikit pakaian yang dipakai. Namun, ciri-ciri tradisi dan identiti masih tetap dikekalkan. Pakaian mereka kini lebih kepada mengekalkan tradisi yang disesuaikan dengan arus perdana dan bukannya sebagai pakaian seharian.

Musim buah-buahan juga dianggap sebagai sebuah pesta dan perayaan bagi kaum Temuan kerana semakin banyak buah-buahan diperolehi, semakin tinggi darjat mereka di dalam masyarakat kerana dianggap kaya dan hidup mewah. Musim buah-buahan disambut setelah selesai musimnya. Hal ini demikian kerana pada musim tersebut masyarakat Temuan bersusah payah mengutip hasil tanaman mereka. Penduduk kampung itu akan berkongsi mengeluarkan belanja untuk membeli barang-barang keperluan untuk meraikannya. Mereka mengadakan majlis tari-menari sebagai tanda kesyukuran kerana hasil buah-buahan bertambah dan akan berlipat ganda di musim akan datang. Malah menurut orang sumber, Encik Mengek bin Acai, semua ahli kampung itu akan dijemput menghadiri keramaian itu dan tradisi tersebut masih diteruskan hingga kini.
Antara perayaan kaum Temuan yang lain juga ialah sambutan untuk tetamu kehormat. Kehadiran tetamu kehormat biasanya disambut dengan permainan alat muzik dan bunyi-bunyian seperti Kong-kong, Tung-tung dan Geng-gong diikuti dengan pelbagai acara persembahan yang menarik seperti tarian tradisi masyarakat kaum ini. Di antara tarian tradisi yang biasa dipersembahkan ialah Tarian Seaman Tunggal, Kapal Terbang, Mengutip Buah, Tarian Limau Manis.

Tarian ini ditarikan oleh anak gadis Temuan yang lengkap dengan pakaian tradisi, perhiasan daun kelapa yang dianyam untuk dijadikan selempang yang dililit di pinggang, kepala dan dada. Perhiasan ini dinamakan Anyaman Subang. Tarian Sewang atau Tarian Kong Kong turut dipersembahkan dengan dikendalikan oleh tujuh pemain muzik dengan memainkan alatan muzik yang diperbuat daripada kayu mahang dan buluh betong.

Memetik kata-kata Encik Mengek bin Acai, sebenarnya, semua jenis perayaan di Malaysia ini, sama ada perayaan kaum Cina, Melayu, India dan lain-lain turut mereka sambut. Tambahan pula, pada setiap kali tibanya Tahun Baharu Cina atau dikenali sebagai Hari Temaruk oleh masyarakat Temuan, mereka akan memberi penghormatan kepada Datuk. Datuk merupakan roh penjaga mereka yang memelihara keselamatan dan keamanan mereka sejak dari dahulu lagi. Justeru, semasa perayaan Tahun Baharu Cina atau Hari Temaruk ini, mereka akan melakukan upacara sembahyang bagi menghormati dan menyanjungi Datuk. 

    Setiap masyarakat mempunyai budaya dan identiti tersendiri dari sudut tarian dan alatan muziknya. Orang Asli Temuan juga tidak ketinggalan daripada nilai estetika kebudayaan yang ‘tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas’ ini. Menurut orang sumber, Tok Batin Mengek Acai, beliau menyatakan bahawa alat muzik utama yang menjadi kegemaran Orang Asli Temuan adalah biola. Gesekan biola biasanya didendangkan di majlis-majlis keramaian seperti majlis perkahwinan, perayaan tahun baru dan lain-lain. Selain itu, alat muzik yang biasanya dimainkan oleh masyarak Asli Temuan adalah seperti Kong-Kong, seruling buluh dan Keranting iaitu sejenis gitar buluh.
       
         
Beralih kepada tarian tradisional masyarakat ini pula, antara yang popular adalah Sewang dan Joget Lambak. Menurut orang sumber lagi, Sewang merupakan satu jenis tarian untuk menyembuhkan sebarang penyakit berkaitan roh dan dipercayai digunakan untuk memuja roh-roh si mati. Namun kini, Sewang lebih bertujuan sebagai acara bersuka ria menyambut tetamu dan lebih dikenali sebagai Tarian Kong-Kong. Tarian ini terdiri daripada tujuh orang pemain muzik, empat belas orang penari dan seorang penyanyi. Alat-alat yang digunakan dalam tarian ini adalah kayu Mahang dan buluh betong


Rajah 16 : Upacara Sewang atau lebih dikenali sebagai tarian Kong-Kong yang dipersembahkan kepada para tetamu sebagai tanda alu-aluan
(Sumber : Video Jejak Budaya Masyarakat Asli Temuan di laman Youtube)

Berbeza dengan Sewang, Joget Lambak dijalankan semasa majlis perkahwinan. Tarian tradisi ini memberi peluang kepada keluraga pengantin untuk bersuka ria dan bermesra setelah berpenat lelah pada sian harinya.Semua orang tidak kira dara, teruna, janda dan duda diberikan kebebasan untuk memilih pasangan untuk menari.Susana dimeriahkan lagi dengan gesekan biola serta pukulan gong dan kompang. Pesta ini berlarutan sehingga lewat malam sehingga mereka letih dan puas.
Secara amnya, menurut orang sumber Tok Batin Mengek Acai yang telah ditemubual, beliau mengatakan bahawa adat istiadat perkahwinan Orang Asli Temuan adalah lebih kurang sama dengan Orang Melayu. Mari kita selami persamaan yang terdapat dalam upacara perkahwinan masyarakat Asli Temuan dengan masyarakat Melayu. Apabila si teruna memberitahu keluarganya bahawa dia berkenan pada seorang gadis, maka bapa saudara si teruna akan pergi merisik melalui bapa saudara si gadis untuk mendapatkan persetujuan. Sekiranya kedua-dua pihak bersetuju, hari pertunangan akan ditetapkan.

Apabila tibanya hari pertunangan, pihak lelaki akan menghantar tanda kepada pihak si gadis berupa sebentuk cincin, sepasang persalinan dan juga alat solek. Si teruna akan menyarungkan cincin kepda si gadis. Jika berlaku langkah bendul iaitu adik yang dipinang dahulu, maka sepersalinan dan pemberian yang sama juga perlu diberi kepada kakaknya. Kemudian, tarikh perkahwinan akan ditetapkan. Hantaran dan belanja hangus pula akan ditentukan oleh pihak si gadis mengikut darjat sesuatu keturunan. Bagi anak-anak yang terdiri daripada pemegang Lembaga Adat, nilai hantarannya adalah yang paling tinggi. Jadi di sini, dapatlah kita lihat bahawa adat perkahwinan mereka lebih kurang sama dengan masyrakat Melayu, tidak jauh bezanya.

Rajah 16 : Foto barang-barang hantaran yang diberikan oleh pihak lelaki kepada pihak perempuan (Sumber : Muzium Orang Asli)

Seterusnya, semasa bersanding, Juru Kerah akan melaksanakan akad nikah. Setelah itu, pangantin akan makan sehidangan. Pengantin lelaki akan menyuapkan nasi kepal ke mulut pengantin perempuan dan juga sebaliknya. Kemudian, barulah mereka makan nasi bersama-sama. Apa yang menarik perhatian kami adalah upacara unik  ‘Makan Sirih’ dan ‘merokok’ yang akan dilakukan di mana pengantin lelaki menyuapkan ke mulut pengantin perempuan sambil tangannya merangkul bahu pengantin perempuan.

Seterusnya mereka akan diberi nasihat tentang hidup berumahtangga sebelum melayari bahtera perkahwinan yang penuh dengan cabaran. Kemudian, pihak pengantin akan bersalaman dengan semua sanak saudara dan para hadirin yang hadir sebagai tanda penghargaan kerana sudi memeriahkan majlis mereka.




Rajah 21 : Foto replika patung yang menggambarkan majlis persandingan suku kaum Temuan (Sumber : Muzium Orang Asli)

Sama seperti masyarakat-masyarakat lain, Orang Asli Temuan juga  yang mempunyai adat resam tersendiri terhadap kelahiran anak mereka. Dari titik permulaan lagi, semasa isteri mengandung, suami juga dikehendaki berpantang. Mereka dilarang melakukan perkara-perkara yang boleh memberi kesan kepada bayi yang akan dilahirkan. Antaranya, mereka dilarang menggali tiang rumah, mengempang sungai, menyimen dan memaku kerana dikhuatiri menyukarkan kelahiran bayi. Mereka juga dilarang membunuh binatang, memelihara binatang liar dan tidak boleh memegang atau memakan kura-kura kerana boleh menyebabkan bayi terkena seman atau sawan. Bayi juga akan berkudis jika suami membakar ladang. Nampak pelik bukan? Tetapi inilah hakikat kepercayaan dan adat resam masyarakat ini.

Kita teruskan lagi tradisi semasa proses bersalin dan menyambut kelahiran bayi. Seorang bidan akan bertindak sebgai pembantu sewaktu proses bersalin berlalu. Selepas proses kelahiran selesai, tali pusat bayi akan dipotong dan bayi akan diberi gelaran ‘nama pusat’ iaitu nama timangan. Menurut kepercayaan mereka, darah ibu yang jatuh ke bumi semasa bersalin akan ditimbus dengan tanah dan diletakkan mengkuang di atasnya bertujuan untuk melindungi ibu daripada diganggu oleh hantu.


Rajah 22 : Bidan yang membantu seorang bakal ibu semasa proses bersalin 
(sumber : Muzium Orang Asli )

Lumrah kehidupan, setiap yang bernyawa pasti merasakan mati. Mengikut adat Orang Asli Temuan, apabila berlaku sesebuah kematian, penduduk sekitar akan menziarahi si mati dan memberi derma ikhlas mengikut kemampuan masing-masing. Penduduk kampung akan berkabung untuk menghormati si mati dan menangguhkan aktiviti harian sehingga selesai upacara pengkebumian untuk mengelakkan bencana seperti mendapat luka dan sebagainya.

Sebelum mayat dikebumikan, mayat tersebut akan dimandikan dan dikapankan dengan cara mereka. Menurut kepercayaan mereka lagi, semasa menunggu mayat, orang yang berada di sekitar tidak boleh bercakap besar. Mereka tidak boleh menyebut perkataan ‘bangun’ kerana ditakuti mayat akan bangun dan mengganggu orang ramai. Mayat juga akan dijaga untuk mengelakkan daripada dilangkah oleh binatang seperti kucing dan ayam. Jika mayat tersebut masih belum dikebumikan, makanan yang dimakan tidak boleh diambil semula kerana dipercayai roh dan semangat orang mati tadi hendak juga makan apa yang orang lain makan. Penduduk juga tidak boleh bersuka ria sebagai tanda untuk menghormati si mati. Pada dahi atau telinga kanak-kanak akan dicalit dengan kapur sirih atau abu kain hitam yang dibakar untuk mengelakkan gangguan roh si mati.

Semasa proses pengkebumian pula, mayat akan dikandar dengan diiringi oleh sanak-saudara dan penduduk kampung ke kubur. Sebelum mayat dikebumikan, di dalam liang lahad akan dibakar kemenyan dan diperasapkan sekelilingnya sebanyak tujuh kali sambil menjampi serapah serta menyeru agar roh si mati akan aman bahagia di tempat yang istimewa dipanggil ‘Pulau Buah’. Tanah yang digunakan untuk menimbus kubur mesti bersih daripada akar. Kemudian, cangkul yang digunakan diketuk sebanyak tujuh kali di atas kubur dan kemenyan akan dibakar di atas kubur tersebut.

Sebelum balik, pelita akan dinyalakan dan diletakkan di atas kubur dan dipasang selama tiga hari berturut-turut pada sebelah petang. Apabila balik dari kubur, mereka akan ditabur dengan serai wangi dan ramuan daun-daun hutan yang dipilih. Orang yang menaburnya akan bersembunyi untuk membuang sial dan menghalau hantu yang mengikut mereka pulang ke rumah. Mereka akan membasuh tangan dengan menggunakan beras yang direndam untuk membuang sial.

Roh si mati akan diberi makan pada hari ketiga di atas para yang disediakan di luar rumah. Pinggan makanan itu adalah daripada daun. Keluarga si mati akan menyeru memberitahu bahawa makanan telah disediakan. Maka pada hari ketujuh, keluarga si mati akan pergi ke kubur dengan membawa hidangan untuk si mati. Makanan tersebut akan diletakkan di atas kubur dan diperasapkan sebanyak tujuh kali. Pada hari keseratus, akan diadakan kenduri yang dinamakan ‘Hari Nauk Tanah’ yang dikenali sebagai kenduri arwah.


Rajah 23 : Contoh kubur suku kaum Temuan yang dipamerkan di Muzium Orang Asli Ayer Keroh, Melaka (Sumber : Muzium Orang Asli)


Rajah 24 : Lagi contoh kubur suku kaum Temuan yang dipamerkan di Muzium Orang Asli Ayer Keroh, Melaka (Sumber : Muzium Orang Asli)

4.0 MAKANAN DAN SUMBERNYA SERTA KELANGSUNGAN HIDUP

Makanan bagi masyarakat Orang Asli Temuan khasnya adalah sama seperti orang asli dari suku-suku yang lain. Hal ini demikian kerana kedudukan topografi mereka yang tinggal di kawasan hutan dan persekitaran semulajadi di muka bumi ini. Antara makanan tersebut ialah, ubi-ubi liar (ubi kapur, ubi tanjung), binatang buruan dan ikan, juga sayuran herba. Kesemuanya ini dapat meningkatkan kecergasan dan membantu meningkatkan kadar vitamin dalam tubuh. Justeru, sumber makanan yang diperoleh semuanya bersumberkan dari hasil hutan yang begitu banyak, sama ada untuk kegunaan harian, perubatan, juga dikomersialkan sebagaimana sekarang.

Malah peralatan memasak seperti senduk, bekas beras dan pinggan mangkuk juga turut menggunakan sumber-sumber hutan. Proses memungut dan memburu hasil hutan ini juga sangat unik kerana, mereka menggunakan peralatan memburu dan perangkap yang begitu efektif dan berkesan seperti, Jerat Tupai dan Perangkap Serkap. Peralatan memasak utama adalah buluh. Buluh yang berbeza digunakan untuk fungsi masakan yang berbeza. Misalnya, ada buluh untuk memasak ubi kayu, buluh untuk memasak ikan, dan buluh untuk mengisi air dan sebagainya.

Selain menikmati makanan dari sumber hutan untuk meneruskan kelangsungan hidup,  makanan perubatan dari sumber hutan turut juga dimanfaatkan oleh orang asli suku Temuan seperti Tongkat Ali, Kacip Fatimah, Pokok Gajah Beranak, Pisang Hutan dan pelbagai lagi. Makanan mereka juga dimasak dengan cara yang unik sekali, antaranya dengan menggabungkan nasi dan hasil buruan seperti ikan di dalam buluh yang sama dan dibakar. Hal ini akan menambahkan lagi keenakan dan kelazatan makanan dari perisa asli yang digabungkan. Malah resepi dan cara masakan mereka yang unik ini disebarluaskan, antaranya seperti Ayam dalam Buluh, Ikan Pais dan Pulut dalam Periuk Kera.

 PENUTUP


 Apa yang dapat disimpulkan dari tugasan Hubungan Etnik khususnya tentang masyarakat Orang Asli Temuan ini antaranya ialah, pemerolehan ilmu yang tidak terbanding dan ternilai harganya. Penerokaan kami secara penulisan dan temubual dengan orang sumber begitu membantu dan mendedahkan kami dengan aktiviti sosial, luar dari kebiasaan tugasan kami yang lain. Masyarakat orang asli bukanlah satu kaum yang perlu ditakuti untuk didekati, malah mereka begitu ramah dan sangat terbuka berkongsi budaya dan tradisi mereka.
Masyarakat orang asli bukanlah masyarakat terpinggir dan kini kerajaan dalam usahanya yang padu cuba meningkatkan taraf hidup masyarakat orang asli ini melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA). Mereka kini bukan lagi masyarakat yang dibelenggu kemiskinan dan bukan lagi umpama katak di bawah tempurung kerana, kini akses kepada kemudahan asas seperti air, elektrik ditingkatkan. Tambahan pula, akses kepada pendidikan juga dilipat gandakan. Hasilnya, masyarakat orang asli kini tidak ketinggalan menuntut di institut pengajian tinggi di serata Malaysia.
Kita tidak boleh memandang sesuatu kaum itu berdasarkan kelainan agama, budaya dan tradisi dengan pandangan negatif sahaja. Tetapi perlu diingat bahawa kepelbagaian inilah yang menjadikan Malaysia terkenal dengan jolokan negara majmuk di serata dunia kerana mampu mengekalkan kemakmuran dan kesejahteraan meski begitu banyak kaum menghuni bumi Malaysia. Mereka kini lebih bijak mengekalkan tradisi dalam arus perdana. Mereka tidak meninggalkan tradisi, tetapi menggabung jalinkannya dengan pembangunan dan kemodenan.
Tuntasnya, kewujudan masyarakat Orang Asli ini perlu diketahui umum, kerana masih ramai lagi yang kurang senang mendekati mereka. Budaya dan tradisi mereka mungkin agak berbeza namun ianya begitu unik. Malah melalui tugasan seperti inilah kami dapat menyebarluaskan kajian kami terhadap masyarakat Orang Asli temuan khasnya. Penting untuk kita menerokai dan memahami mereka, kerana mereka juga sebahagian dari populasi rakyat di negara ini.


OLEH :
 MOHAMAD NAZRIN BIN ABDULLAH
FARAH HUSNA BINTI BUSRI
SITI ZURINA BINTI ABD GAFFAR