1.0 PENGENALAN
Ramai yang menyedari bahawa
masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa yang bersatu di bawah
lembayung negara yang makmur iaitu, Malaysia. Namun yang demikian, peratusan
yang mengetahui kesemua suku yang menjadi penduduk di Malaysia masih boleh dibilang
dengan jari. Ramai yang tidak mengetahui bahawa, rumpun masyarakat Melayu
terdiri daripada beberapa suku kaum yang berbeza.
Etnik Banjar merupakan
salah satu suku kaum yang terdapat dalam rumpun Masyarakat Melayu. Walaupun
sejarah kedatangannya hampir sama dengan masyarakat Jawa namun, ramai yang
tidak mengetahui mengenai etnik Banjar ini. Seperti etnik lain, etnik Banjar
juga merupakan masyarakat yang kompleks dan mempunyai sejarah yang tersendiri
di negara ini. Tradisi Banjar serta adat istiadatnya telah mengalami proses asimilasi
daripada Jawa dan Dayak. Justera itu, tidak hairanlah sekiranya berlaku
pertembungan adat tradisional ketiga-tiga kaum tersebut.
Dalam pendokumentasian ilmiah
pada kali ini, hasil tugasan ini akan dirungkai melalui penulisan esei
berkenaan dengan tajuk yang dipilih. Oleh yang demikian, dalam tugasan kali
ini, kumpulan yang dianggotai oleh Khairul Azman bin Abu Hassan, Nur Shera
Nabila binti Abdul Aziz dan Mariatul Qibtiah telah mencapai persetujuan untuk
memilih etnik Banjar sebagai etnik kajian kami.
Justeru, penulisan esei ini
akan merungkai sejarah kedatangan etnik Banjar ke Malaysia juga merungkai
kebudayaan yang terbahagi kepada dua bahagian iaitu budaya kebendaan dan budaya
bukan kebendaan. Budaya kebendaan terdiri daripada pakaian, makanan, seni tari
dan senibina rumah. Manakala, bagi budaya bukan kebendaan, aspek ini akan
merungkai etnik Banjar daripada agama dan kepercayaan, adat resam dan bahasa.
Oleh yang demikian, diharapkan agar penulisan ini dapat membantu dalam memahami
dan mengenali etnik Banjar dengan lebih holistik.
2.0 SEJARAH
KEDATANGAN ETNIK BANJAR KE TANAH MELAYU
Sebenarnya, Orang Banjar yang datang ke Tanah Melayu
adalah berasal dari Kalimantan, Indonesia, di kawasan selatan Basin Barito, terutama
sekali dari daerah Banjar Masin, iaitu pusat bandar daerah itu yang terletak di
bahagian tenggara Borneo. Di antara daerah-daerah utama tempat asal orang
Banjar tersebut ialah dari daerah Balangan, Amuntai, Alai, Hamandit, Margasari
dan Martapura. Sebahagian dari mereka juga berasal dari Sumatera Tengah di
kawasan Bukit Tinggi dan Sepat yang terkenal sebagai kawasan penanaman padi.
Oleh demikian, ramai yang berpendapat bahawa mereka yang berhijrah ke Tanah
Melayu adalah merupakan petani-petani yang mahir dalam penanaman padi. Di
samping itu, pekerjaan khusus seperti melukis, tukang permata dan berniaga juga
dikatakan mahir dilakukan oleh mereka. Pekerjaan inilah yang membezakan mereka
dari suku-suku bangsa lain di daerah orang-orang Dayak yang tinggal lebih ke
utara barat Banjar Masin. Masyarakat ini juga dikenali dengan kemahiran membuat
peralatan dari besi, seperti peralatan pertanian dan senjata. Kebanyakan mereka
suka tinggal di lembah beberapa buah sungai seperti di sepanjang lembah Sungai
Barito dari Banjar Masin hingga ke Asuntai dan Tanjung di utara.
Antara maklumat lain, turut dikatakan bahawa Suku Banjar yang tinggal di
Sumatera dan Malaysia merupakan anak cucu dari para penghijrah etnik Banjar
yang datang dalam tiga gelombang migrasi besar. Bagi golongan mingrasi pertama,
penghijrahan telah berlaku pada tahun 1780 ke pulau Sumatera. Etnik Banjar yang
menjadi pendatang ketika itu adalah para penyokong Pangeran Amir yang kalah
dalam perang saudara Kerajaan Banjar, iaitu Pangeran Tahmidullah. Mereka
terpaksa melarikan diri dari wilayah Kerajaan Banjar kerana sebagai musuh
politik mereka sudah dijatuhkan hukuman mati.
Bagi golongan migrasi kedua, pada tahun 1862
terjadi lagi penghijrahan besar-besaran ke pulau Sumatera. Etnik Banjar yang
menjadi pendatang ialah para pendukung Pangeran Antasari dalam kemelut Perang
Banjar. Mereka terpaksa melarikan diri dari pusat pemerintahan Kerajaan Banjar
di kota Martapura atas alasan yang sama. Pasukan Residen Belanda yang menjadi
musuh mereka dalam Perang Banjar yang sudah menguasai kota-kota besar di
wilayah Kerajaan Banjar. Bagi golongan migrasi ketiga pula, etnik Banjar kembali melakukan penghijrahan
besar-besaran ke pulau Sumatera pada tahun 1905. Kali ini mereka terpaksa
melakukannya kerana Sultan Muhammad Seman yang menjadi Raja di Kerajaan Banjar
ketika itu mati syahid di tangan Belanda. Penghijrahan
suku Banjar ke Sumatera khususnya ke Tembilahan, Indragiri Hilir sekitar tahun
1885 di masa pemerintahan Sultan Isa, raja Indragiri sebelum raja yang terakhir.
Dalam masa-masa tersebut, suku
Banjar juga berhijrah ke Malaysia antara lain ke negeri Kedah, Perak (Kerian,
Sungai Manik, Bagan Datoh), Selangor (Sabak Bernam, Tanjung Karang), Johor
(Batu Pahat) dan juga negeri Sabah (Sandakan, Tenom, Keningau, Tawau) yang
dikenali sebagai Banjar Melau. Daerah yang paling ramai terdapat etnik Banjar
di Malaysia adalah daerah Kerian di Negeri Perak Darul Ridzuan. Tarikh migrasi masyarakat ini ke Tanah Melayu tidak dapat
dipastikan, tetapi menurut Afred Bacon Hudson seorang pengkaji orang Banjar,
migrasi ini bermula dalam pertengahan abad ke 19. Penempatan yang awal sekali
dapat dikesan ialah di Batu Pahat, Johor. Pada masa itu, mereka dikatakan
sering berulang alik berdagang dan berniaga kelapa kering melalui Siak, Bentan,
Inderagiri terus ke Batu Pahat dan Singapura. Selain daripada itu Bagan Datoh
di Perak juga dikatakan tempat pertapakan awal masyarakat ini di Tanah Melayu.
Dari Batu Pahat, mereka berpecah ke kawasan lain. Mereka
masih lagi manjalankan aktiviti yang serupa seperti bertani, berkebun getah,
kelapa dan sebagainya. Pada masa kini, masyarakat Banjar boleh didapati di
beberapa kawasan pantai barat, terutamanya di kawasan penanaman padi seperti di
daerah Kerian, Sungai Manik dan Bagan Datoh di Perak, Sabak Bernam dan Tanjong
Karang di Selangor serta Batu Pahat di Johor. Di Sabah pula, orang Banjar
terdapat di Sandakan, Tenom, Keningau dan Tawau. Orang Banjar ini pula
terbahagi kepada beberapa puak dan di antara yang terbesar ialah Tanjung dan
Kalua dari daerah Balangan, Amuntai dari daerah Amuntai, Barabai dari daerah
Alai, Nagara dan Kandangan dari daerah Hamandit, Rantau dari daerah Margasari
dan Martapura dari daerah Martapura. Masyarakat ini sering mengidentifikasikan
diri mereka berdasarkan daerah tempat asal-usulmereka di Tanah Banjar.
Terdapat
beberapa faktor yang menyebabkan penghijrahan suku Banjar terutamanya ke Tanah
Melayu. Selain daripada faktor perdagangan,
kemiskinan yang mencengkam kehidupan orang Banjar di tempat asal mereka juga
telah mendorong penghijrahan ke Tanah Melayu. Keadaan mereka di Tanah Banjar
agak sukar kerana tanah pertanian mereka sering menghadapi ancaman binatang
buas. Faktor ini ditambah lagi dengan kemelaratan yang dihadapi di bawah
pemerintahan penjajah Belanda yang terlalu menindas masyarakat tempatan dengan
pelbagai cukai dan peraturan yang tidak munasabah. Di samping itu, mereka
tertarik dengan kemakmuran kehidupan di Tanah Melayu pada masa itu yang
dikhabarkan oleh pedagang-pedagang yang berulang-alik ke Tanah Melayu. Pihak penjajah British di Tanah Melayu pula amat
menggalakkan penghijrahan masyarakat dari Indonesia untuk membuka dan
mengerjakan kawasan pertanian yang baru kerana masyarakat tersebut amat
terkenal dengan sifat tabah dan gigih dalam menghadapi cabaran hidup.
Sebenarnya, menurut Qamaruz Zaman Ismail, Bekas Ahli
Parlimen Bagan Serai, dipetik dalam
rencana Berita Harian “Orang Banjar Warisi Darah Pejuang” (Isnin, 12 Mac 2012)
yang disunting oleh Azrul Affandi Sobry mengatakan bahawa, “ada dua kelompok
penghijrahan orang Banjar ke negara ini iaitu mereka yang mahu bebas daripada
masalah dan tekanan di Banjar Masin serta sekelompok lagi ialah pendakwah.
Mereka yang lari dan mahu bina kehidupan baru telah memilih untuk mengasingkan
diri dan tinggal jauh di dalam hutan. Mereka ini tidak begitu disegani orang
tempatan kerana masalah bahasa.
Atas sebab pelbagai tekanan itu, ditambah dengan peluang
mengembangkan sumber ekonomi melalui pertanian yang terbuka di Tanah Melayu
menyebabkan ramai terpaksa berhijrah. Penghijrahan ini sebenarnya berlaku
secara berperingkat tetapi semakin hebat pada pertengahan abad ke-19.
3.0 CIRI-CIRI
MASYARAKAT BANJAR
Menurut rencana Berita Harian pada
15 Mac 2012 yang ditulis oleh Azrul Affandi Sobry, orang Banjar sememangnya
terkenal dengan karektor tegas. Sinonimnya mereka dengan sifat kepahlawanan
bukan hanya omongan kosong yang tiada buktinya. Hal ini terbukti dengan
tindakan mereka meredah lautan meneroka tanah negara orang sudah cukup
menunjukkan keberanian. Golongan masyakat Banjar kini memonopoli sebahagian
kawasan seperti Kerian, Sungai Manik, Sabak Bernam dan sebahagian kawasan di
utara semenanjung.
Masyarakat Banjar
dikatakan panas baran dan tegas. Hal ini mungkin disebabkan oleh sejarah
masyarakat itu sendiri yang sentiasa berdepan dengan krisis peperangan menuntut
hak mereka. Tambahan pula, orang Banjar memang sejak dulu lagi terkenal dengan
sikap mudah naik radang. Sekiranya seseorang dari luar masuk ke kawasan kampung
orang Banjar dengan memakai kopiah senget, orang kampung akan perbetulkan dan
memberi teguran kerana pemakaian sebegitu dianggap samseng. Orang Banjar
dikatakan gemar bergaduh dengan masyarakat yang lain. Mungkin kerana itu,
masyarakat ini lebih terpencil dan tidak bergaul dengan masyarakat lain selain
mengalami permasalahan bahasa. Penggunaan senjata biasanya disebut (lading),
parang panjang atau badik juga tidak asing lagi bagi mereka terutamanya ketika
berlaku pergaduhan. Selain itu juga, dipercayai bahawa setiap keluarga orang
Banjar pasti menyimpan sebilah parang panjang di rumah masing-masing untuk
menjaga keselamatan mereka.
Selain itu juga, menurut
orang sumber lagi iaitu En. Samsudin bin Jilani, sebenarnya orang Banjar memang
pantang dicabar. Walaupun sikap itu terbawa-bawa sehingga hari ini, namun dalam
konteks positif di mana mereka terkenal sebagai pesaing hebat dalam semua
bidang. Semantelahan, orang Banjar juga terkenal dengan sikap garang. Sikap
garang ini dikatakan sudah sebati dengan diri masyarakat Banjar. Pisau belati
dijadikan senjata wajib bagi orang Banjar suatu ketika dahulu. Mungkin kerana
didikan sejak kecil kerana anak yang berani akan dipuji.
Selain
itu juga, penghijrahan masyarakat
dari luar, ternyata membentuk struktur hidup penduduk Malaysia dan ia lebih
banyak bergantung kepada kehidupan di tanah asal kedatangan. Apabila difokuskan
kepada orang Banjar ke negara ini, masyarakat ini lebih dekat dikaitkan dengan
orang Jawa yang lebih terarah kepada pemugaran tanah dan mengusahakan
pertanian. Mereka akan memulakan sesuatu perkampungan dengan nama awal Parit,
seperti juga orang Jawa yang menunjukkan mereka sudah memulakan sistem perairan
untuk tanah pertanian yang ditulis oleh Azrul Affandi Sabry.
Di
negara ini orang Banjar dikaitkan dengan sistem tebuk iaitu mereka membina
penempatan di dalam hutan dengan adanya lorong kecil untuk ke perkampungan
kecil yang mempunyai sistem pertanian terancang. Orang Banjar tidak memfokuskan
kepada satu jenis tanaman sahaja tetapi mereka akan menggunakan setiap ruang
yang ada untuk menambahkan hasil tanaman dengan tanaman-tanaman yang lain.
Selain itu, sebelum mereka membina rumah, perkara utama yang bakal mereka
akukan adalah membuat parit yang akan memboehkan bekalan air sampai ke semua
kebun dan seterusnya sawah padi di hujung tanah sebelum akhirnya dilimpahkan ke
sungai. Hal ini dapat mengelakkan mereka daripada banjir.
Menurut
Wan Ahmad Arshad, kepintaran orang Banjar masih boleh dilihat dalam pembinaan
rumah seperti rumah yang dibina oleh Abdu Hamid Al-Banjari iaitu dipanggil
rumah Ganal atau besar yang dibina sendiri pada tahun 1890 dan masih utuh
sehingga kini. Beberapa faktor yang menjadi keutamaan ketika membina rumah
adalah mereka akan membuat sistem perparitan yang terbaik bagi tujuan kawalan
banjir, mengairi sawah serta dalam masa yang sama untuk menternak ikan. Hal ini
pernah diakui oleh Britain sebagai sistem perparitan terbaik pada zaman
penjajahan.
Manakala
sekitar rumah orang Banjar pula akan ditanam dengan pelbagai tanaman seperti
labu di batas sawah, tebu dan kelapa pula untuk mengisi kekosongan di sekitar
rumah. Uniknya masyarakat Banjar ini mereka tinggal di daam kelompok keluarga
yang bermaksud rumah di antara saudara-mara berada di dalam tebuk yang sama.
Ada
logiknya kenapa orang Banjar mempunyai kemahiran di dalam bidang pertanian. Hal
ini kerana faktor geografi di Banjarmasin kerana di sana iklim dan rupa buminya
sangat bersesuaian dengan tanaman tropika. Oeh itu, masyarakat Banjar boleh
dibahagikan kepada dua iaitu golongan pertama hanya berfokus kepada pendapatan
hasil pertanian, manakala golongan kedua adaah mereka yang turut melakukan
kerja-kerja sampingan seperti bertukang, menangkap ikan, mencari kayu, rotan,
damar dan sebagainya.
4.0 KEBUDAYAAN
KEBENDAAN
4.1 Makanan
Menurut temuramah yang telah dijalankan iaitu Encik
Samsudin Bin Jilani berumur 62 tahun beliau telah menceritakan serba sedikit
mengenai masyarakat Banjar. Beliau adalah seorang pesara dan berketurunan
Banjar serta tinggal di Parit Buntar yang merupakan tempat majoriti bagi
masyarakat Banjar. Menurut beliau, Masyarakat banjar juga terkenal dengan
pelbagai makanan dan manisan yang menjadi juadah kepada masyarakat ini sejak
dahulu hinggalah sekarang.
Antara makanan tersebut adalah wadai kepeng. Wadai kepeng
ini pada masa dahulu disediakan selepas selesai menanam padi ataupun di
sebarang majlis doa kesyukuran atau doa selamat (rujuk gambar 1). Proses
menyediakan kuih ini tidaklah sukar dan selalunya masyarakat Banjar akan
membuatnya secara bergotong-royong. Cara menyediakan wadai kepeng ini adalah
menggunakan tepung pulut, garam dan air suam. Semua bahan tersebut akan diuli
bersama sehingga menjadi doh. Kemudian doh tersebut perlu diambil di dalam
kuantiti yang sedikit dan bentukkan menjadi bulat kemudian dipicit sedikit agar
menjadi leper.
Seterusnya, proses membuat kuahnya pula adalah
menggunakan santan, air, gula putih, gula merah dan garam. Semua bahan itu akan
dimasak bersama sehingga mendidih. Apabila kuah tersebut mendidih barulah
dimasukkan adunan tepung yang telah dibentuk tadi. Kesemua bahan tersebut perlu
dikacau supaya tepung tadi tidak melekat. Bagi memastikan bahawa juadah ini
telah siap dimasak adalah dengan melihat tepung tersebut telah timbul kemudian
tenggelam kembali ke dalam kuah.
Gambar 1: menunjukkan makanan masyarakat Banjar, wadai
kepeng.
Salah
satu makanan yang popular bagi masyarakat banjar adalah kuih kalakatar (rujuk
gambar 2 dan gambar 3). Menurut orang sumber, En. Samsudin lagi, kuih ini
hampir sama seperti bengkang tetapi cara membuatnya menggunakan isi kelapa muda
dan air kelapa muda. Kuih ini enak dimakan semasa panas. Cara membuat kuih ini
dianggap renyah oleh itu sukar untuk membuatnya dan masih ramai orang banjar
yang tidak mahir untuk membuat kuih ini.
Menurut seorang lagi orang sumber iaitu Pn. Salamiah
binti Hj. Abdul Rashid yang berusia 78 tahun, resipi bagi menyediakan kuih ini
adalah dua cawan tepung gandum, satu biji telur ayam, gula secukup rasa dan
sedikit garam. Kemudian campurkan campuran air dan isi kelapa muda, tepung, gula,
telur dan garam hingga sebati. Ambil bekas untuk memasak, sapukan sedikit
minyak pada bekas berkenaan dan masukkan adunan kuih ke dalam bekas berkenaan.
Kuih ini boleh dimasak dengan cara bakar mahupun kukus. Namun kebanyakkan orang
yang menjual kuih ini akan memasaknya dengan cara bakar. Kuih ini ternyata enak
dimakan dan hanya terdapat di kawasan yang mempunyai masyarakat banjar. , jika
di tempat responden kuih ini akan banyak dijual ketika bulan Ramadhan.
Gambar 2:
menunjukkan kuih kalakatar yang dimasak secara bakar atau kukus
Gambar 3:
menunjukkan kuih kalakatar yang digemari dalam masyarakat Banjar.
Seterusnya adalah kuih balongan ahyam merupakan kuih
tradisional yang diwarisi turun-temurun daripada nenek moyang masyarakat Banjar
yang datang dari Banjarmasin Indonesia. Menurut Pn. Salamiah, kebiasaannya,
sebelum ini, kuih tersebut hanya disediakan untuk hidangan keluarga pada bulan
Ramadan tetapi sudah dipasarkan bagi menambah pendapatan keluarga. Kuih ini
tidak terlalu susah untuk dibuat kuih
kerana ia hanya mengunakan bahan seperti kelapa, gula merah, gula putih,
daun pisang dan dikukus selama 15 minit (rujuk gambar 4). Rasanya pula enak
manis seperti dodol.
Gambar 4: menunjukkan kuih balongan ahyam
Seterusnya,
masyarakat Banjar juga mempunyai lauk tradisi iaitu ikan wadik (rujuk gambar 5).
Makanan ini seakan-akan pekasam namun tidak masam. Cara penyediaan ikan wadik
ini adalah dengan menggunakan ikan daripada jenis ikan darat seperti sepat atau
puyu yang banyak terdapat di kawasan penanaman padi. Memandangkan Daerah Kerian
merupakan salah satu tempat pengeluar padi yang terbesar maka bagi mencari ikan
dari jenis ini adalah tidak sukar diperolehi dan banyak didapati di sini.
Menurut
orang sumber iaitu En. Samsudin, bagi penyediaan ikan wadik ini, ikan-ikan
tersebut akan diletakkan di dalam guri atau balang. Ikan tersebut akan disusun
secara berlapis-lapis sambil meletakkan garam di atas ikan tersebut. Terdapat
juga orang yang menyediakan ikan ini menaburkan beras goreng atau asam keping
di dalamnya. Untuk menikmati ikan tersebut perlu menunggu sehingga sebulan bagi
memastikan ikan-ikan tersebut benar-benar terperap dan sebati dengan
bahan-bahan yang telah dimasukkan di dalam ikan tersebut. Cara memasak ikan
wadik ini adalah dengan menggoreng bersama bawang besar dan cili padi serta
dimakan panas-panas bersama nasi putih. Hidangan ini nyata dapat membangkitkan
selera kepada orang yang menikmatinya.
Gambar 5: menunjukkan makanan tradisi etnik Banjar iaitu
ikan wadik.
Sebenarnya, terdapat banyak lagi makanan yang terdapat
dalam masyarakat Banjar. Kesemuanya melambangkan keunikan dan keistimewaan
etnik ini dalam mempertahankan identiti etnik Banjar.
4.2 Seni Bina/Rumah
Rumah Adat Banjar adalah rumah tradisional suku Banjar. Arkitektur
tradisional ciri-cirinya yangmempunyai perlambang, mempunyai penekanan pada
atap, ornamental, dekorasi dan simetris.
Rumah tradisonal Banjar adalah jenis-jenis rumah khas
Banjar dengan gaya dan ukirannya yang tersendiri mulai sebelum tahun 1871 hingga
tahun 1935. Umumnya rumah tradisional Banjar dibangun dengan beranjung
(ba-anjung) iaitu sayap bangunan yang menjorok dari samping kanan dan kiri
bangunan utama kerana itulah disebut Rumah Baanjung. Anjung merupakan ciri khas
rumah tradisional Banjar, walaupun ada pula beberapa jenis Rumah Banjar yang
tidak beranjung (rujuk gambar 6).
Menurut Pn. Samsiah binti Hj. Abd. Rashid, jenis rumah
yang paling bernilai tinggi adalah Rumah Bubungan Tinggi yang biasanya dipakai
untuk bangunan keraton (Dalam Sultan). Jadi nilainya sama dengan rumah joglo di
Jawa yang diguna sebagai keraton. Keagungan seorang pemimpin pada masa
pemerintahan kerajaan diukur oleh jumlah ukuran dan kualiti seni serta
kemegahan bangunan-bangunan kerajaan khususnya istana raja (Rumah Bubungan
Tinggi). Pada pandangan beliau, dalam suatu perkampungan suku Banjar terdiri
dari pelbagai jenis rumah Banjar yang mencerminkan status sosial mahupun status
ekonomi pemilik rumah. Dalam kampung tersebut rumah dibangun dengan pola linear
mengikuti arah aliran sungai mahupun jalan raya terdiri dari rumah yang
dibangun mengapung di atas air, rumah yang didirikan di atas sungai mahupun
rumah yang didirikan di daratan, baik pada lahan basah (alluvial) mahupun lahan
kering.
Gambar 6: menunjukkan
rumah etnik Banjar. Anjung yang berjurai merupakan ciri istimewa rumah etnik
ini.
Oleh yang demikian,
jelaslah bahawa bukan sahaja tertumpu pada makanan, tetapi sebenarnya, etnik
Banjar juga mempunyai identiti dengan seni bina rumahnya. Seni binanya yang
unik membuktikan bahawa etnik Banjar merupakan etnik yang berdaya kreatif dan
mempunyai keunikannya yang tersendiri.
4.3 Seni
Tarian
Menurut Azrul Affandi Sobry dalam rencananya di Berita
Harian (Khamis, 15 Mac 2012) mengatakan bahawa sebenarnya memang agak sukar
untuk dipastikan sama ada dalam masyarakat Banjar, tarian yang ditari
mencerminkan budaya masyarakat itu. Hal ini mungkin berikutan daripada sejarah
kedatangan mereka ke negara ini sebagai masyarakat yang tinggi pegangan
agamanya menjadikan jika adapun tarian di tanah asal, berkemungkinan ia tidak
dibawa ke sini.
Cuma
perbezaaan etnik Banjar dengan etnik yang lain adalah dari segi berpakaian. Hal
ini kerana, orang Banar sememangnya ada pakaian tradisinya yang turut digunakan
dalam persembahan budaya. Pakaiannya juga ringkas dan sekadar mencerminkan imej
masyarakat itu yang menjadi petani. Tidak seperti pakaian tradisi etnik yang
lain, sarat dengan aksesori. Jika diperhatikan, sebenarnya masyarakat Banjar
mempunyai rentak muzik yang tersendiri kerana rentak yang diiramakan
mengadaptasi kegiatan harian etnik dan cara hidup yang diamalkan. Tarian yang
terdapat dalam etnik ini mengadaptasi kegiatan harian ini dengan menyelitkan
elemen kelembutan dan nilai seni tradisional yang tinggi selain membuktikan bahawa
etnik ini sangat mementingkan pengekalan busana asal masyarakat ini (rujuk
gambar 7).
Gambar 7: menunjukkan tarian Banjar yang menyelitkan
keunikan hidup masyarakatnya.
Menurut
Azrul Affandi Sobry lagi dalam rencananya, tarian yang ditarikan mempamerkan
kelembutan gadis Banjar menyambut tetamu dengan kata-kata indah serta
lemah-gemalai gerak seni tari yang dicipta melambangkan seni tari kreatif dan
keindahan bahasa dilafazkan. Secara kesimpulannya, jika dilihat sekali pandang,
tarian yang memang lemah lembut ini sedikit menyerupai tarian inang di mana
penarinya hanya menggerakkan tangan dan melangkah lembut tanpa gerak yang
tangkas. Ulik tangan pun sekadar melentik ke kiri dan ke kanan penuh
kelembutan.
4.4 Pakaian
Pakaian tradisional yang biasa dipakai dihari
biasa oleh remaja dan orang dewasa kaum lelaki Banjar adalah seluar panjang
yang menutup kaki. Sebagai pasangannya dikenakan kemeja lengan panjang dengan
leher baju bulat. Bahagian dada terbelah berkancing tiga, tanpa poket. Pada saat-saat
tertentu kelengkapan pakaian ini ditambah dengan kain sarung yang diletakkan di
bahu. Sedangkan dalam acara-acara rasmi seperti menghadiri upacara adat seluar
diganti dengan kain sarung. Warna yang digunakan oleh remaja lebih terang,
dominan seperti warna kuning.
Lelaki
yang telah berusia bagi masyarakat Banjar pula mengenakan baju palimbangan,
iaitu kemeja berlengan panjang dengan leher baju bulat dilengkapi dengan butang
lima dan mempunyai poket sebanyak tiga buah. Pasangannya digunakan kain sarung yang
lazim disebut tapih kaling, sejenis sarung terbuat dari katun atau sutra
bermotif garis-garis melintang dan membujur. Sebagai penutup kepala digunakan
kopiah dari kain beludru, kain satin (kupiah Padang) atau kupiah jangang. Alas
kakinya ada berbagai jenis, iaitu sandal kalipik, sandal tali silang, dan selop
(rujuk gambar 8).
Gambar 8: menunjukkan cara berpakaian masyarakat Banjar
dahulu dan sekarang. Perbezaan ini juga menunjukkan cara berpakaian bagi
golongan tua dan golongan muda.
Selain
itu juga, menurut Pn. Samsiah binti Abd. Rashid, pakaian yang kerap dipakai
para remaja dan orang tua kaum perempuan Banjar adalah baju kebaya berpasangan
dengan kain batik (rujuk gambar 10). Menjadi kebiasaan setiap perempuan akan
menyiapkan rambutnya dengan cara disanggul. Ada dua cara yang disebut galung
malang babuntut dan galung malang. Sanggul ini berbentuk bundar seperti angka
lapan. Buntut pada sanggul menunjukkan pemakainya masih gadis. Untuk wanita
dewasa dikenakan baju kebaya basawiwi (basujab), kebaya biasa yang diberi
variasi kain yang memanjang di bagian depan yang dinamakan sawiwi atau sujab
selebar 10 cm.
5.0 KEBUDAYAAN BUKAN KEBENDAAN
5.1 Fahaman/Kepercayaan Dan Agama
Perkara ini sangat berkait rapat dengan keadaan mereka yang baru berhijrah
dari Tanah Banjar ke Tanah Melayu yang masih asing bagi mereka. Jadi, bagi
memastikan kebajikan mereka terjaga, mereka sentiasa tinggal dalam satu
kelompok. Salah satu ciri terpenting wujud pada masyarakat tersebut pada masa
itu ialah mendalamnya fahaman kesukuan. Menurut
orang sumber, Pn. Samsiah binti Hj. Abd. Rashid, mereka merasakan orang-orang
selain dari suku mereka dianggap orang luar. Keadaan inilah yang telah
mempengaruhi perkembangan keperibadian dan corak pergaulan mereka. Menurut
beliau lagi, jarang berlaku perkahwinan di luar suku Banjar. Justeru, mereka
dapat mengekalkan ciri-ciri keperibadian yang tersendiri dalam msyarakat ini. Keadaan kehidupan mereka juga amat sederhana, rumah
mereka dikatakan kosong kerana tidak mempunyai alat-alat perabut seperti
kerusi, meja dan almari. Peralatan yang ada seperti tikar mengkuang yang
dibentangkan ketika tetamu datang dan lain-lain perkakas yang mustahak sahaja.
Satu hal yang agak menarik juga ialah, masyarakat ini
tidak suka bekerja makan gaji dengan kerajaan kerana mereka lebih suka bekerja
sendiri khasnya dalam bidang pertanian. Perkara ini juga berkait dengan
kebebasan untuk mereka membuat perkara-perkara sampingan khasnya untuk
mendalami ilmu-ilmu keagamaan. Pekerjaan bertani khasnya penanaman padi
mempunyai ruang masa yang banyak dan bebas untuk mereka melakukan
perkara-perkara tersebut seperti ketika menunggu musim menuai dan seumpamanya.
Kedudukan seseorang yang tinggi ilmu agama juga amat dihormati dan mendapat
tempat yang istimewa di kalangan orang Banjar.
Menurut En. Samsudin bin Jilani, disebabkan kebanyakkan masyarakat banjar tinggal di
kawasan penanaman padi maka terdapat satu budaya yang dinamakan berderau bagi
aktiviti penanaman padi ini. Berderau dalam erti kata lain adalah menjalankan
aktiviti penanaman padi secara berkumpulan. Aktiviti ini diadakan apabila musim
penanaman padi bermula. Pemilik sawah padi akan disertai oleh beberapa orang
yang datang membantu untuk menanam padi. Sebagai contoh, jika tuan pemilik
tanah sawah padi ingin menanam padi, terdapat 10 orang yang datang untuk
membantu menanam padi maka pemilik sawah tersebut harus membantu 10 orang itu
untuk menanam padi mereka. Aktiviti ini menunjukkan satu sikap kerjasama yang
baik antara pemilik sawah padi tersebut untuk membantu menanam padi selain
mempercepatkan proses menanam padi.
Nilai yang diberikan ke atas seseorang individu dalam
masyarakat ini adalah berdasarkan keahliannya dalam ilmu-ilmu agama Islam.
Nilai-nilai seperti ini menjadikan masyarakat ini begitu kuat dan taat
berpegang kepada ajaran Islam dan kepada kepimpinan yang ahli dalam bidang
agama Islam. Perkembangan pendidikan
secara formal yang wujud dalam masyarakat ini hanyalah berupa kelas membaca
Al-Quran, mempelajari hal ehwal syariat Islam dan mendalami ilmu agama yang
lain. Tambahan pula, kebanyakan orang Banjar yang berhijrah ke Tanah Melayu
terdiri daripada mereka yang kuat pegangan agama Islam dan mengamalkan cara
hidup yang sempurna. Oleh yang demikian, tidak hairanlah bahawa masyarakat
Banjar ini amat condong terhadap perkara-perkara berkaitan agama Islam dalam
kehidupan mereka.
5.2 Adat Resam/Budaya/Pantang Larang
5.2.1 Adat Perkahwinan
Asimilasi dalam perkahwinan di
negara ini pastinya lebih menyerlah dan ketara kerana kebanyakannya berhijrah
dari tanah lain. Lebih ketara adalah asimilasi dalam budaya perkahwinan melayu.
Seperti yang kita ketahui, perkahwinan adalah satu sisi budaya yang unik dan
berbeza bagi setiap masyakat dan etnik. Etnik Banjar juga tidak terlepas dari
senarai asimilasi budaya perkahwinan ini. Pada masa sekarang, ramai yang mengakui
bahawa semakin sukar untuk melihat pengantin Banjar mengenakan pakaian
tradisional dan menjalankan adat perkahwinan asal mereka. Namun yang demikian,
budaya perkahwinannya tidak akan dilupakan. Menurut Drs. Syarifuddin dalam Adat
Melayu Serumpun, Abdul Latif Abu Bakar (2001) mengatakan bahawa, orang Banjar
memandang perkahwinan sebagai sesuatu yang sangat penting. Menurut pandangan
sebahagian besaro orang Banjar, akad nikah tanpa diikuti oleh upacara adat
perkahwinan menimbulkan kecurigaan bahawa pengantin perempuan hamil sebelum
bernikah.
Seperti istiadat
perkahwinan masyarakat lain, perkahwinan dalam masyarakat Banjar juga
berlangsung dalam keadaan meriah, tetapi dalam suasana yang cukup ringkas.
Menurut Azrol Affandi Sobry dalam rencananya “Pengantin ‘Berpapai’ Sebelum Naik
Rumah” (Sabtu, 17 Mac 2012) mengatakan bahawa, sebelum upacara perkahwinan
berlangsung, mereka tidak ada adat merisik seperti kebanyakan masyarakat yang
lain (rujuk gambar 9). Hal ini kerana, dalam masyarakat Banjar zaman dahulu,
perkahwinan mereka berlangsung antara sesama saudara, seperti sepupu dan
sebagainya. Upacara dimulakan apabila kedua-dua belah berkenaan, keluarga
lelaki berjanji akan datang ke rumah perempuan selalunya pada waktu Isyak untuk
menyatakan hajat mereka untuk meminang anak perempuan secara terus terang,
(Khairi Muhammad Nor, Berita Harian, Sabtu 17 Mac 2012, dalam rencana yang
ditulis Azrul Affandi Sobry).
Gambar 9: menunjukkan pengantin lelaki dan pengantin perempuan yang dirai
dalam perkahwinan etnik Banjar.
Sekiranya pihak
perempuan bersetuju, perjanjian akan dibuat untuk menentukan tarikh bila hendak
diadakan majlis perkahwinan. Pada kebiasaannya, majlis perkahwinan diadakan
selepas musim mengetam dan menuai padi. Hal ini disebabkan oleh bekalan beras
yang dapat ditampungnya sendiri. Menurut adat masyarakat Banjar, kedua-dua
bakal pengantin tidak dibenarkan berjumpa antara satu sama lain. Majlis akad
nikah dalam masyarakat Banjar akan diadakan seminggu sebelum majlis kenduri
berlangsung. Majlis akad nikah dalam masyarakat Banjar akan diadakan seminggu
sebelum majlis kenduri berlangsung (Khairi Muhammad Nor, 2012).
Apabila pihak lelaki
telah menghantar barang keperluan dan duit belanja, barulah pengantin perempuan
boleh bersiap sedia untuk upacara ‘mandi adat’. Upacara ‘mandi adat’ atau
‘berpapai’ dijalankan di tempat khas yang dipanggil balai yang diperbuat
daripada empat batang tiang yang diikat dengan batang tebu. Pada setiap batang
tebu diikat mayang pinang dengan benang kuning dan digantung buah pisang,
ketupat dan kuih cincin. Menurut Azrul Affandi Sobry (2012) lagi dalam
rencananya, kawasan balai akan menempatkan bidan dan pembanti untuk memandikan
pengantin dengan menggunakan upih pinang. Pengantin lelaki akan pergi ke rumah
pengantin perempuan untuk upacara mandi bersama atau ‘mandi adat’. Pengantin
lelaki dikehendaki memakai kain pelikat dan selendang manakala pengantin
perempuan pula memakai kain batik (kain
telasan) dan selendang jarang ketika upacara dijalankan.
Kemudian, ketika hendak
melangkah keluar daripada balai, mereka dikehendaki melakukan upacara pijak
telur sebelum naik ke rumah. Selepas itu, kedua-dua pengantin duduk
mengelilingi cermin, lampu, pelita atau lilin sebanyak tiga kali dengan dibantu
oleh bidan. Selesai acara itu, lilin atau pelita ditiup sambil memasang niat. Upacara
ini dinamakan ‘tahaba’ bermaksud bertembung dalam bahasa Melayu. Kemudian,
pengantin perempuan pula tidak dibenarkan melihat wajah di cermin kerana
dikhuatiri akan hilang seri wajahnya.
Pengantin disandingkan
di tengah laman, di atas buaian sambil dipersembahkan pencak silat sembah dan
diiringi paluan dua biji gendang serta satu gong. Ketika bersanding, hanya
upacara bersalaman dengan pengantin sahaja yang dilakukan tanpa merenjis
pengantin atau disebut sebagai ‘tepung tawar’ dalam masyarakat Melayu. Selain
itu juga, pada hari persandingan tersebut diadakan majlis khatam Al-Quran
pengantin dan tetamu diberikan bunga telur sebagai kenangan.
Menjelang malam, mereka
sekali lagi disandingkan di dalam kelambu. Ketika ini, upacara makan di dalam
kelambu diadakan iaitu makanan yang dimasak daripada barangan yang dibekalkan
oleh pihak lelaki sebelum ini. Selepas selesai, pengantin lelaki keluar dari
bilik dan pada ketika itu, dia berzanji dan bermarhaban sehingga pukul 12
tengah malam. Kemudian, barulah pengantin lelaki disuruh masuk semula ke dalam
bilik untuk bertukar pakaian manakala pengantin perempuan disuruh melipat kain.
Pada ketika ini, terdapat adat ‘bertaguran’ iaitu adat bertegur sapa. Selepas
tiga hari, pihak perempuan dikehendaki mengadakan majlis bubur bayak atau
berayak sebagai tanda selamat bertujuan menyelamatkan ‘kelambu’ atau
perkahwinan yang baru dilangsungkan. Pada hari berikutnya, barulah kedua orang
mempelai sudah boleh ‘bertaguran’ atau ‘bertegur sapa’.
Selain itu, pengantin
juga akan melalui budaya ‘bergosok’. Dalam upacara adat ini, badan pengantin
perempuan digosok oleh bidan untuk mengembalikan seri pengantin. Bahan yangh
diperlukan untuk upacara ini ialah kulit kayu yang diperoleh daripada 44 pokok
yang belum berbuah atau dikenali sebagai pokok dara. Terdapat pantang larang
yang dipegang ketika mengambil kulit kayu tersebut. Doa dipohon kepada Nabi
Ilias sambil menyeru nama pengantin yang berbintikan ibunya. Bahan lain yang
digunakan dalam upacara bergosok ialah segenggam beras pulut yang digoreng
tanpa minyak dan ditumbuk halus serta diayak, bertujuan mengeluarkan daki dari
badan pengantin. Telur ayam dara, sedikit air, daun sirih bertemu urat, kapur
yang dipangkah, gambir dan pinang, dilipat dan digulung serta disimpul
kemudian, ditumbuk halus. Menurut Azrul Affandi bin Sobry (2012) lagi, bidan
akan menggosok pengantin bermula dari pangkal hidung, dan terus naik ke atas.
Dua tangan berpusing, dan diletakkan rata ke muka.
Sebenarnya, pengaruh
agama Islam terhadap adat dan upacara perkahwinan orang Banjar sangat besar,
(Drs. Syarifuddin dalam Adat Melayu Serumpun, Abdul Latif Abu Bakar, 2001). Hal
ini mungkin disebabkan kebanyakan daripada masyakarat Baanjar merupakan
penganut agama Islam. Terdapat dua pengaruh besar dalam adat perkahwinan orang
Banjar iaitu pengaruh ekonomi dan pengaruh agama. Hal ini terbukti, apabila
pengantin perempuan anak orang kaya biasanya akan menerima jujuran yang lebih
banyak daripada pengantin perempuan anak orang miskin. Bagi pengantin lelaki
pula, anak lelaki keluarga kaya perlu memberi jujuran yang lebih bayak daripada
anak lelaki keluarga miskin. Hal ini memenuhi syarat, adat dan resepsi secara
barat.
Menurut Abd. Rahman Hj.
Abdullah (1985), sekiranya dahulu jodoh mereka ditentukan orang tua, mereka
sekarang boleh memilih pasangan yang sesuai dengan pandangan hidup mereka.
5.2.2 Adat Masuk Rumah Baru
Dalam masyarakat Banjar, budaya masuk rumah baru bagi
masyarakat ini menurut Khairi Muhammad Nor di dalam rencana yang ditulis Azrul
Affandi Sobry, mereka perlu memastikan kepala tiang rumah dibalut dengan kain
tiga warna. Duit syiling bernilai 10 sen atau 5 sen akan digunakan. Mereka akan
membalut duit syiling tersebut dengan kain putih dan dimasukkan kepada kepala
tiang itu. Semasa memasukkan duit syiling tersebut, mereka akan berniat supaya
dimurahkan rezeki kepada orang yang masuk ke rumah itu. Orang ramai juga akan
membacakan yasin dan selawat ketika tiang dinaikkan. Sekiranya terdapat tujuh
tiang yang perlu dinaikkan maka ketujuh-tujuh tiang tersebut hendaklah
dinaikkan dengan dimulakan dengan kepala tiang yang telah dimasukkan dengan
duit syiling tersebut. Selepas gelegar dipasang barulah tetamu akan pulang dan
jika kerja belum selesai maka mereka perlu datang pada keesokan harinya pula.
Setelah selesai tuan rumah akan mengadakan kenduri.
5.2.3 Pantang Larang Wanita Hamil
Masyarakat Banjar juga mengamalkan pantang larang seperti
orang Melayu yang lain. Antaranya bagi wanita hamil terdapat beberapa pantang
larang yang perlu diikuti bagi mengelakkan berlakunya musibah. Terdapat banyak
pantang larang bagi wanita yang hamil tetapi semuanya agak sama dengan
masyarakat Melayu yang lain. Menurut Zahrah Ijan (2012) di dalam artikel Berita
Harian oleh Azrul Affendi Sobry, pantang larang bagi wanita hamil masyarakat
Banjar adalah mereka tidak dibenarkan duduk di tengah pintu. Hal ini boleh
menyebabkan bayi yang bakal dilahirkan susah untuk keluar. Seterusnya, jika
makan buah-buahan kulitnya tidak dibenarkan dibuang di dalam semak sebaiknya
buang di tempat yang terbuka dan orang boleh melihatnya. Perkara ini disebabkan
bayi yang dilahirkan nanti tidak disukai orang lain apabila dipandang.
Selain
itu, jika sedang makan dan ada orang yang datang ke rumah maka perlulah
dipelawa orang tersebut untuk makan bersama. Jangan buat tidak endah sahaja
kerana dikhuatiri anak dikatakan akan bisu dan sombong. Begitu juga apabila ada
orang yang datang dan duduk di hadapan kita, jangan memalingkan muka atau
membelakangi orang tersebut kerana anak yang bakal lahir tidak disukai orang
lain.
Bagi
wanita yang bakal bersalin penggunaan air pelongsor sangat popular dan
digunakan sehingga ke hari ini. Tujuan penggunaan air ini adalah bagi
memudahkan proses melahirkan anak. Tempoh bagi wanita berpantang pula adalah
selama 44 hari. Bagi wanita yang berpantang banyak makanan yang tidak boleh
dimakan serta mereka akan mengamalkan minum air halia setiap hari. Amalan yang
diamalkan sepanjang berpantang bagi orang Banjar adalah mereka akan menggunakan
barut sepanjang bermeter-meter. Di dalam balutan ini akan dimasukkan pelbagai
jenis herba seperti halia, jintan manis dan bawang putih. Kaki perempuan yang
bersalin juga akan dibedung supaya tidak boleh terlalu mengangkang. Manakala
selepas 10 hari, akan dilakukan urutan supaya dapat menaikkan peranakan dan
urutan akan dilakukan sebanyak 3 kali.
5.2.4 Adat Menanam Uri
Selain daripada adat perkahwinan,
terdapat beberapa lagi adat yang semakin dilupakan dan semakin ditinggalkan
oleh masyarakat Banjar. Walau yang demikian, sebahagiannya masih diteruskan
terutamanya di kawasan kampung kerana masih berada dalam kalangan mereka yang
tinggal di dalam kawasan tersebut. Antaranya ialah kaedah menanam uri iaitu uri
yang keluar bersama bayi dengan membasuh dan membaca bacaan tertentu sebelum
ditanam. Kemudian, uri tersebut ditanam bersama sembilu, cabai, bawang, asam,
garam dan dimasukkan ke dalam periuk tanah yang mempunyai lubang di bawahnya
dan tidak dikambus.
Menurut Azrul Affandi
Sobry (2012), mengatakan bahawa upacara bersunat pula dilakukan dalam suasana
yang cukup ringkas, majlis kenduri doa selamat dan hidangan pulut kuning.
Selalunya bagi anak lelaki, mereka berpakat bersunat beramai-ramai kerana
diadakan kenduri selepas berkhatan. Bagi anak perempuan, sunat dilakukan oleh
bidan kampung. Selain itu, upacara ‘belah mulut’ turut dilakukan oleh bidan
kampung. Cincin akan digunakan untuk diletakkan di dalam mulut tidak kira
cincin milik ibu mahupun milik bidan diiringi bacaan tertentu yang diamalkan.
5.2.5 Adat Upacara Naik Buaian
Terdapat beberapa budaya yang masih diamalkan oleh orang
Banjar pada masa sekarang antaranya adalah upacara naik buaian. Walaupun
tidaklah semeriah dengan budaya asal namun pelaksanaannya masih dapat dilihat
sehingga kini.
Antaranya adalah upacara naik buaian yang selalunya
diadakan pada bulan maulud ataupun pada Rabiulawal yang mana disertai dengan
upacara berzanji dan marhaban. Kelainannya upacara ini adalah mengikut jantina
bayi tersebut. Jika bayi tersebut adalah lelaki, mereka perlu dipakaikan dengan
kain batik lepas dan dialas dengan kain belacu yang dicelup dengan dua warna
secara berselang-seli. Warna yang digunakan adalah putih kemudian merah dan
putih kembali. Bagi bayi perempuan pula yang membezakannya adalah warna kain
belacu yang bermula dengan merah dan berselang-seli dengan putih dan kemudian
merah.
Upacara
ini dilakukan tanpa upacara cukur jambul. Mereka hanya akan membawa bayi
tersebut mengelilingi buaian sebanyak tiga kali. Di tepi buaian itu diletakkan
sebuah bakul yang mengandungi segantang beras, satu gula kabong, sebiji kelapa,
sepiring pulut, sebiji telur rebus, dan dua batang lilin. Dua batang lilin
tersebut akan dinyalakan sambil berdoa supaya diterangkan hati secerah cahaya
lilin tersebut.
Selesai
upacara, semua barang akan diserahkan kepada orang yang meletakkan bayi ke
dalam buaian. Pada tali buaian pula diikat makanan seperti tiga biji ketupat
nasi, tiga biji ketupat pulut, kuih cincin dan pisang dengan tujuan kehidupan
kanak-kanak tersebut akan menjadi semanis-manis makanan tersebut. Selesai
sahaja selawat makanan ini akan diserahkan kepada kanak-kanak yang datang
melihat dan memeriahkan majlis.
5.2.6 Budaya Bapukung
Bagi masyarakat Banjar, budaya
berendoi mereka unik sekali. Kedudukannya nampak tidak selesa dan jika salah
faham boleh ditafsirkan seperti mahu menjerut bayi. Sebenarnya, budaya yang
dinamakan ‘bapukung’ bukan sekadar untuk majlis cukur jambul tetapi
dipraktikkan sejak dahulu sehingga ke hari ini. Di mana sahaja, bayi diletak
dalam buaian dalam cara yang sama (rujuk gambar 10).
Gambar 10: menunjukkan
budaya bapukung yang masih diamalkan.
Pelik melihat budaya ini
kerana kedudukan bayi bukan dibaringkan dalam buaian tetapi diletak seperti
sedang duduk dan seterusnya ada ikatan sehelai kain batik lain yang menjerut
badannya di bahagian atas (bahagian leher). Walaupun keadaan bayi kelihatan amat
menyeksakan, namun sebenarnya, keadaan sebegini menyebabkan bayi tersebut
merasa selesa seperti badannya sedang didakap erat. Budaya bapukung sebenarnya
satu kaedah popular untuk memberikan rasa selesa dan dakapan kepada bayi untuk
membolehkannya tidur lebih lama tanpa rasa terganggu.
Menurut Asmah Ramli
(2012) dalam rencana oleh Azrul Affandi Sobry, bayi seawal usia sebulan sudah
boleh dipukung. Bayi akan merasa lebih selesa berbanding kaedah buaian yang
biasa. Memang kelihatan seperti terseksa tapi sebaliknya bayi lebih selesa dan
dapat tidur lama. Kanak-kanak sehingga usia sembilan bulan masih boleh
dipukung. Cara membalut bayi mestilah kemas dan padat untuk membolehkan bayi
merasa seperti dalam rahim ibu. Biasanya, orang Banjar akan membuat satu pondok
kecil sekadar boleh memuatkan buaian bapukung dan sesuai dihayun ke depan dan
ke belakang (Asmah Ramli, 2012 dalam rencana ‘Bapukung Buai Bayi Tidur Nyenyak,
Selesa’ oleh Azrul Affandi Sobry).
Justeru, orang Banjar
yang berkebun dahulu tidak ada masalah membawa anak bersama ke kebun dengan
menggunakan bapukung. Pada kebiasaannya, ketika mendodoi anak dalam bapukung,
ada nyanyian khusus yang digelar ‘dudoi lagu Banjar’. Asmah Ramli (2012)
mengatakan lagu yang dinyanyikan adalah seperti berikut,
“Yun ayun anakku ayun, ayun di dalam, dalam ayunan, lakas
bakijim lakasi guring, umak aur banyak gawian. Lailahaillallah Nabi Muhammad
pasuruh Allah. Yuna dinana anakku guring, guring di dalam, dalam Bismillah,
jauhi culas jauhkan kulir, kus samangat hidup baiman”.
Dodoian sekadar perlahan
ke depan dan ke belakang tanpa perlu henjutan seperti buaian lain. Tidak sampai
beberapa lama, matanya mula terpejam dan terlena. Menurutnya lagi, jika
dibiarkan begitu, bayi itu akan terus lena tanpa perlu didodoi lagi.
Menurut temuramah yang telah dijalankan iaitu Encik
Samsudin Bin Jilani berumur 62 tahun pula, beliau telah menceritakan serba
sedikit mengenai masyarakat Banjar, pukung adalah salah satu cara yang
digunakan oleh orang Banjar khususnya bagi menidurkan bayi. Mereka akan membuat
buaian menggunakan kain batik atau pelikat. Buaian ini akan dipanggil ayunan.
Bayi akan diletakkan di dalam ayunan dengan cara bayi
tersebut akan berada dalam keadaan duduk dan kain tersebut akan diikat sehingga
ke bahagian leher bayi tersebut. Oleh itu, bayi yang berada dalam pukongan
hanya akan menampakkan kepala sahaja. Bayi yang berada dalam keadaan ini
membolehkan mereka tertidur. Ini merupakan salah satu cara yang berbeza
daripada masyarakat lain bagi menidurkan bayi.
5.2.7 Adat Upacara
Kematian
Seterusnya adalah menguruskan kematian bagi orang Banjar.
Mereka masih mengekalkan proses tersebut mengikut kaedah Islam walaupun mereka
mempunyai budaya tersendiri. Hal ini sesuai dengan masyarakat tersebut yang
mempunyai pegangan agama yang kuat. Apabila berlaku kematian mereka akan
mengetuk beduk bagi memaklumkan kepada penduduk kampung bahawa berlakunya
kematian. Sekiranya orang tua yang meninggal dunia beduk akan diketuk sebanyak
tujuh kali manakala bagi kanak-kanak sebanyak tiga kali. Mereka akan datang
menziarahi serta membacakan surah Yasin serta al-Quran. Menjelangnya subuh mereka
akan menumbuk tepung beras untuk dibuat serabai , menyediakan gula waluh dan
ayam bapak. Ayam bapak ini dipercayai dapat menggerakkan mayat terbabit di
akhirat kelak.
Urusan
pengkebumian jenazah dilakukan oleh orang kampung tanpa sebarang bayaran sebaliknya
bergotong-royong untuk urusan mandi, kafan, gali kuburdan sebagainya. Jika
ingin menyembahyangkan jenazah, jika tidak cukup 40 oang jemaah maka penduduk
dari kampung lain akan dipanggil dan tuan rumah akan menyediakan sampu berisi
RM 5 untuk diberkan kepada jemaah yang datang. Untuk mengebumikan jenazah pula
keranda tidak digunakan sebaliknya jenazah diletakkan di atas kain usungan atau
pelikat dan ditutup dengan kain batik lepas. Pengusung tersebut dibuat daripada
dua batang buluh. Anak-anak pula akan mengelilingi di bawah mayat tersebut
sebanyak tiga pusingan apabila pengusung diangkat supaya mereka tidak terlalu
mengingati arwah.
Manakala
pakaian yang pernah dipakai oleh arwah juga akan disedekahkan kepada saudara
mara atau jiran tetangga terdekat. Jika suami yang meninggal dunia isteri tiada
tempoh berkabung untuk isterinya pergi ke mana-mana. Masyarakat Banjar juga
akan mengadakan kenduri tahlil dan bacaan Yasin iaitu pada hari pertama, kedua,
ketiga, ketujuh, ke-25, ke-40 dan penutupnya hari yang ke-100. Setahun sekali
juga akan diadakan kenduri sebagai memperingati arwah.
5.3 Perubatan
Rencana oleh Azrul Affandi Sabry di dalam Berita Harian
pada 13 Mac 2012 telah memperjelaskan mengenai perubatan masyarakat Banjar.
Walaupun pada masa sekarang terdapat banyak kaedah perubatan moden, namun bagi
masyarakat Banjar mereka masih lagi menggunakan pengamal perubatan tradisional
yang dulu menjadi rujukan utama mereka. Oleh itu, masih terdapat lagi pengamal
perubatan tradisional yang menggunakan ayat al-Quran sebagai kaedah utamanya.
Boleh dikatakan kebanyakkan pengamal perubatan ini mewarisi kebolehan daripada
generasi terawal yang membawa bersama kemampuan mereka daripada Banjarmasin.
Kemahiran ini pula sukar dipelajari dan tidak pula menggunakan kaedah tertentu,
namun sekadar bacaan ayat al-Quran.
Pengamal
perubatan Fatimah Butit menceritakan penggunaan senjata seperti keris juga
adalah sebahagian amalan khusus yang diwarisi sebahagian orang Banjar.
Disebabkan 90 peratus daripada generasi pertama dahulu adalah orang yang hebat
dalam agama dan handal dalam perubatan serta amalan dalaman maka orang Banjar
ini terkenal dengan perubatan berasaskan Islam. Tidak ramai yang menggunakan
mantera untuk perubatan, sebaliknya semua adalah dari ayat al-Quran.
Perubatan
bagi orang Banjar pula tidak terhad kepada beberapa jenis penyakit sahaja.
Mereka boleh mengubati daripada demam, dirasuk sampailah kepada membuat air
selusuh untuk wanita mahu bersalin. Air penawar serta penerang hati juga mereka
boleh membuatnya. Jika menggunakan khidmat perubatan Banjar mereka tidak
menetapkan bayaran khas. Jika membawa secupak beras serta sebilah jarum juga
sudah memadai. Namun, perlu juga disertakan dengan duit 25 sen atau disebut
suku. Duit tersebut tidak kiralah diberi sebanyak RM25 sen atau RM1.25,
RM10.25. Apa yang penting adalah jumlah 25 sen di belakangnya. Tujuan
diletakkan suku di belakang adalah adalah amalan untuk melindungi bomoh
tersebut. Hal ini kerana takut penyakit itu akan berpindah ke tubuh bomoh. Suku
ini berperanan sebagai pendinding.
5.4 Bahasa
Bahasa Banjar merupakan bahasa Austronesia yang
dipertuturkan sesetengah tempat di Semenanjung Malaysia dan di provinsi
Kalimantan Selatan, Indonesia. Bahasa Banjar merupakan salah satu cabang bahasa
yang berkembang dari Bahasa Melayu. Asal bahasa ini berada di provinsi
Kalimantan Selatan yang terbahagi kepada Banjar Kandangan, Amuntai, Alabiu,
Kalua, Alai dan lain-lain.
Bahasa Banjar dihipotesakan sebagai bahasa proto Malayik,
seperti halnya bahasa Minangkabau dan bahasa Serawai (Bengkulu). Bahasa Banjar banyak
dipengaruhi oleh bahasa Melayu, Jawa dan bahasa Dayak. Bahasa Banjar atau
sering pula disebut Bahasa Melayu Banjar terbahagi kepada dua kelompok dialek
iaitu:
i.
Bahasa
Banjar Hulu
ii.
Bahasa
Banjar Kuala
Bahasa
Banjar Hulu hanya mempunyai tiga
vowel iaitu /i/ dan variasi yang panjang /i:/, /u:/, dan /a/. Apabila menyebut
perkataan yang mengandungi vowel selain dari tiga ini, vowel itu akan diganti
dengan tiga di atas berdasarkan mana yang lebih dekat. Contohnya perkataan
"logo" akan disebut "lugu". Perkataan "enak" akan
disebut "inak", "ke mana" pula menjadi "ka mana".
Ciri lain adalah perkataan yang dimulakan dengan vowel selalunya disebut dengan
bunyi /h/ pada awalan.
Bagi bahasa Banjar Kuala, ia mempunyai lima vowel, /a, i,
u, e, o/.
Orang-orang Banjar yang berada di Sumatera dan
Semenanjung Malaysia majoritinya berasal dari wilayah Hulu Sungai (Banua Enam),
maka bahasa Banjar yang dipakai merupakan campuran dari dialek Bahasa Banjar
Hulu menurut asal usulnya di Kalimantan Selatan.
Selain itu, menurut orang sumber yang kami temui, Encik
Samsudin Bin Jilani (62 tahun), beliau telah menceritakan serba sedikit
mengenai masyarakat Banjar. Beliau juga menambah bahawa kebanyakkan anak muda
sekarang tidak mahir di dalam bahasa banjar. Jika dibandingkan dengan masa
dahulu mereka memang telah mempelajari bahasa ini sejak kecil lagi manakala
anak muda sekarang tidak terlalu didedahkan dengan bahasa ini sehingga mereka
tidak tahu untuk bertutur di dalam bahasa ini. Hal ini mungkin disebabkan oleh
ibu bapa mereka telah berhijrah ke tempat lain dan jarang menggunakan bahasa
ini.
Namun begitu terdapat juga golongan muda yang boleh
memahami bahasa banjar ini tetapi tidak boleh menuturkannya. Hal ini juga telah
diterbitkan di dalam akhbar Sinar Harian pada 1 Jun 2010 yang bertajuk Belia
Banjar Kurang Kuasai Bahasa iaitu mengikut kenyataan yang dikeluarkan oleh Yang
Dipertua Pertubuhan Banjar Malaysia (PBM) Abdul Latif Datuk Masud hanya lebih
kurang 60 peratus masyarakat Banjar yang berumur dalam lingkungan 20 tahun dan
ke atas sahaja yang dapat bertutur bahasa ini dengan baik.
6.0 RUMUSAN
Sebagaiman yang boleh dilihat, orang Banjar di Malaysia
sebagaimana masyarakat-masyarakat penghijrah dari Indonesia yang lain seperti
orang Jawa, Bugis, Mendailing, Rawa, Kerinchi, Batak, Minangkabau dan lain-lain
lagi, telah mengalami arus perubahan yang pesat seiring dengan kepesatan
pembangunan di negara ini sendiri. Proses asimilasi yang berlaku ke atas
masyarakat ini amat ketara terutama apabila mereka sudah tidak tinggal lagi
bersama-sama dalam kelompok mereka mahupun apabila berlakunya perkahwinan
campur.
Di petempatan yang majoritinya adalah terdiri daripada
masyarakat Banjar, perpaduan mereka masih erat dan mereka masih terus
memelihara dan menggunakan bahasa Banjar dalam pertuturan harian. Namun, dari
segi pengamalaan adat resam dan organisasi sosial orang Banjar serta
prasangkanya terhadap orang bukan Banjar sudah agak berkurangan dan mungkin
sudah tiada lagi. Sikap mereka terhadap pendidikan juga telah jauh berubah di
mana anak-anak mereka juga telah berjaya melanjutkan pelajaran sehingga ke
menara gading dan menjawat jawatan-jawatan yang tinggi di sektor awam mahupun
swasta. Namun begitu, pendidikan agama masih tetap menjadi pilihan utama
kebanyakan dari mereka dan buktinya dapat diperhatikan daripada ramainya
anak-anak masyarakat ini yang mempunyai kelulusan agama yang tinggi terutama
orang Banjar dari daerah Kerian, Perak dan daerah Sabak Bernam di Selangor.
Melalui pendokumentasian ilmiah ini, benarlah bahawa
masyarakat Banjar sememangnya merupakan masyarakat yang masih berpegang kepada
identiti dan cara hidupnya yang tersendiri. Namun yang sedemikian, kami percaya
bahawa mereka tetap berpijak pada bumi Malaysia dan sedia bersama-sama dalam
membangunkan negara. Proses asimilasi yang berlaku tidak menghilangkan identiti
mereka dan tidak juga membuat mereka melupakan tanggungjawab mereka sebagai
rakyat Malaysia. Maka, kesedaran perlulah dipupuk bahawa etnik Banjar juga
merupakan sebahagian daripada rumpun Melayu dan perlu dihormati dan dijaga
identitinya.
RUJUKAN
a)
BUKU
Abdul Latiff Abu Bakar. (2001). Adat Melayu Serumpun. Kuala Lumpur:
Penerbit
Universiti
Malaya.
Abd. Rahman Hj. Abdullah. (1985). Adat Istiadat Dan Upacara Perkahwinan Daerah
Kalimantan Selatan. Kuala Lumpur: Teks Publishing Sdn. Bhd.
Dr. Omar Farouk Bajunid. (1989). Pengantar
Kesenian Perak. Universiti Malaya Kuala Lumpur.
Habsah Bt Mohd Nordin & Zainal Jazlan. (2005) Istiadat Perkahwinan
Melayu Perak. Ipoh: Sakan
Multitrading.
Wan Maizura Wan Mahmud. (2007). Masyarakat Malaysia. Selangor:
Pustaka Cahaya Intelek.
b)
ARTIKEL DALAM AKHBAR
Azrul Affendi Sobry. (2012, Mac 12). Orang Banjar Warisi Darah Pejuang.
Berita Harian, N8-N9.
Azrul Affendi Sobry. (2012, Mac 12). Buat Tebuk Bina Kampung Sukar
Jejaki Orang Luar. Berita
Harian, N9.
Azrul Affendi Sobry. (2012, Mac 13). Banjar Pakar dalam Sektor
Pertanian. Berita Harian,
N8-N9.
Azrul Affendi Sobry. (2012, Mac 13). Bahasa Berbeza Dari Segi Slanga,
Dialek, Kosa Kata. Berita Harian,
N9.
Azrul Affendi Sobry. (2012, Mac 14). Perubatan Banjar Guna Ayat Suci. Berita
Harian, N8-N9.
Azrul Affendi Sobry. (2012, Mac 14). Pantang Larang Wanita Hamil Seperti
Orang Melayu. Berita Harian,
N9.
Azrul Affendi Sobry. (2012, Mac 15). Bapukung Buai Bayi Tidur Nyenyak,
Selesa. Berita Harian,
N8-N9.
Azrul Affendi Sobry. (2012, Mac 15). Tarian Masyarakat Banjar
Lemah-Lembut. Berita Harian, N9.
Azrul Affendi Sobry. (2012, Mac 16). Budaya, Cara Hidup Banjar Unik.
Berita Harian, N8-N9.
Azrul Affendi Sobry. (2012, Mac 16). Wadai Kepeng Dibuat Secara Bergotong-Royong.
Berita Harian,
N9.
Azrul Affendi Sobry. (2012, Mac 17). Pengantin
'Berpapai' Sebelum Naik Pelamin. Berita
Harian, N8-N9.
Azrul Affendi Sobry. (2012, Mac 17). Arus Kemodenan Antara Punca Adat
Asal Terhakis. Berita Harian, N9
c)
LAMAN WEB
Tiada penulis. (2011). Balongan Ahyam, Cenkarok Juadah Ramadan Masyarakat
OLEH PELAJAR PISMP 3.13 (PENGAJIAN SOSIAL)
KHAIRUL AZMAN BIN ABU HASSAN
NUR SHERA NABILA BT ABDUL AZIZ
MARIATULQIBTIAH BT SAMSUDIN